KUALA LUMPUR – Carrisa Cosmetics (M) Sdn. Bhd., pengeluar produk kosmetik dan kecantikan kulit menyasarkan jualan kira-kira RM2 juta pada tahun depan
Pengasasnya Zurin Zakaria berkata, pihaknya optimis mampu mencapai sasaran itu berdasarkan sambutan menggalakkan rangkaian 11 produk berkenaan sejak ia mula berada di pasaran akhir tahun lalu.
Beliau berkata, antara produk yang menjadi pilihan pengguna adalah serum dan bedak asas yang menggunakan 100 peratus bahan semula jadi serta tidak mempunyai merkuri selain mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
“Produk Carrisa Cosmetics dihasilkan daripada bahan organik dan kami cuba mengurangkan penggunaan bahan kimia bagi memastikan kualiti produk terjamin serta kesan penggunaannya dalam masa singkat.
“Justeru kami yakin menerusi gabungan produk yang hebat dan strategi promosi secara agresif dan besar bermula hujung tahun ini, jualan syarikat mampu melonjak melebih RM2 juta pada tahun depan,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.
Zurin menambah, kekuatan produk yang dibangunkan usahawan Bumiputera adalah dari segi ramuan semula jadi dan kualiti yang berkesan kepada pengguna.
Malah beliau turut percaya bahawa produk kosmetiknya akan terus diterima baik oleh orang ramai kerana mementingkan pembungkusan produk yang pelbagai warna.
“Di samping itu, produk kami tidak mahal dan berpatutan untuk semua golongan masyarakat untuk membelinya.
“Kami yakin produk ini akan mendapat sambutan ramai setanding jenama antarabangsa lain dengan pertambahan ejen di seluruh negara termasuk baharu di Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana ketika ini kami masih lagi di peringkat awal untuk meluaskan rangkaian pemasaran, namun kami tidak mengambil masa lama untuk mengeluarkan 11 rangkaian produk dalam masa tidak sampai setahun kerana segmen kosmetik mempunyai potensi besar di negara ini tanpa mengira usia dan latar belakang pengguna,” katanya.
Sebagai langkah permulaan, Zurin berkata, Carrisa Cosmetics akan menjadi antara penaja utama dalam Pertandingan Missers World 2019 yang akan berlangsung pada 16 November depan.
Jelasnya, syarikat akan menaja kelas solekan serta penampilan untuk 26 orang peserta serta gaun malam untuk 10 peserta yang berjaya ke peringkat akhir.
Sementara itu, Zurin sebelum ini turut memiliki Carrisa Collection yang merupakan sebuah syarikat fesyen dan gaya hidup ditubuhkan bersama suaminya, Amer Adnan.
Ditubuhkan pada tahun 2015, Carrisa Collection memulakan perniagaan di fesyen wanita dengan butik di Kota Damansara dan outlet lain di SACC Mall, Shah Alam.
Pada akhir tahun lalu, Zurin mengembangkan perniagaannya dalam industri kosmetik dan penjagaan kulit dan produknya yang boleh didapati secara dalam talian.
Produk busana dan kosmetik boleh di dapati di Galeri Produk di Wangsa 118, Wangsa Maju.
Maklumat lanjut mengenai Carissa Cosmetics boleh diperoleh menerusi laman web www.carrisacosmetics.comdan Instagram: carrisa.beauty. – MalaysiaGazette