KUALA LUMPUR – Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) hari ini melahirkan rasa kesal apabila hampir 50 peserta Himpunan Menyokong Naib Canselor Universiti Malaya (UM) tidak dibenarkan memasuki kawasan universiti terbabit.
Presidennya, Ikhwan Nashriq Salahin berkata, pihaknya diminta oleh pihak polis supaya beredar dari pintu utama universiti itu selepas permohonan mereka untuk berhimpun secara aman dimaklumkan pada saat akhir.
“Sepatutnya kami bersama Alumni-Alumni UM seperti mantan pimpinan mahasiswa UM, Dr Zuhdi Marzuki dan Ahli Parlimen Pasir Mas, YB Fadhli Shaari yang sudi bersama kita pada hari ini.
“Tapi disebabkan oleh kekangan dan diminta untuk bersurai, saya pada mulanya enggan untuk bersurai, tetapi nampaknya pihak polis agak sedikit agresif dengan kami.
“Kami tidak melakukan apa-apa keganasan tapi datang secara aman. Tetapi disebabkan itu kami ambil tindakan untuk bersurai supaya keselamatan semua ahli kami terjaga,” katanya pada sidang media di luar pekarangan pintu utama UM di sini, hari ini.
Minggu lalu, perhimpunan sama turut dianjurkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dengan menyerahkan memorandum sokongan kepada Naib Canselor UM agar tidak tunduk kepada desakan melepaskan jawatan.
Presiden GPMS, Mohd Alif Ana’s Md Noor menolak sekeras-kerasnya mana-mana pihak yang mempersoalkan kedudukan Datuk Dr Abdul Rahim Hashim sebagai Naib Canselor UM.
Ikhwan Nashriq juga berkata, pada peringkat awal pihaknya ada menghantar surat kepada UM untuk menganjur perhimpunan aman itu di hadapan bangunan Canseleri UM.
Bagaimanapun pihaknya hanya dimaklumkan pada saat akhir bahawa permohonan mereka tidak mendapat restu pihak pentadbiran UM hingga memaksa polis bantuan menutup pagar pintu utama ke univerisiti terbabit.
“Kalau UM bagi ruang kepada kita untuk masuk saya rasa isu yang dibangkitkan oleh pihak polis tidak akan menjadi masalah.
“Kita pada peringkat awal sudah menghantar surat kepada UM untuk membuat perhimpunan di hadapan Canseleri di dalam universiti.
“Tapi disebabkan tiada respon dan akhirnya kita dimaklumkan sebelum Jumaat tadi bahawa pagar ini ditutup, jadi kita teruskan demo di hadapan sajalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette