Home Nasional Tawaran baru kerajaan beli tanah Kampung Baru berbaloi – Syed Badli Shah

Tawaran baru kerajaan beli tanah Kampung Baru berbaloi – Syed Badli Shah

Syed Badli Shah Syed Osman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR – Pemilik dan juga pewaris tanah di Kampung Baru disaran supaya menerima tawaran terbaru oleh kerajaan berhubung pembelian tanah ditempat mereka.

Malah, mereka juga diseru agar berfikir secara positif sambil merenung masa hadapan demi merealisasikan pembangunan yang diidamkan, kata Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman.

Menurutnya, harga baru yang diberikan kerajaan iaitu RM1,000 sekaki persegi di mana RM150 dari jumlah itu ditawarkan dalam bentuk pegangan saham Syarikat Tujuan Khas (PSV), boleh dianggap sebagai satu tawaran yang agak berbaloi dan menarik.

“Saya menganggap tawaran ini sebagai sesuatu yang sangat berbaloi kerana tawaran sepertinya boleh dianggap sebagai menang-menang dan peluang seperti ini tidak harus disia-siakan.

“Matlamat utama tawaran ini adalah untuk melihat Kampong Bharu berjaya dibangunkan dengan mengekalkan hak milikan orang melayu.

“Sekiranya pemilik masih merasakan tawaran ini tidak berbaloi, saya khuatir impian untuk melihat Kampong Bharu dibangunkan dengan mengekalkan hak milik orang melayu akan jadi sia-sia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Syed Badli Shah berkata, tawaran terbaru itu jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan begitu serius untuk merealisasikan pembangunan dengan mengekalkan status hak milik orang melayu.

Sedangkan kerajaan terdahulu gagal mengemukakan sebarang bentuk cadangan yang bernas apatah lagi tawaran yang berbaloi, ujarnya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad mengumumkan tawaran terbaharu dan terakhir kepada penduduk Kampung Baru iaitu RM1,000 bagi setiap kaki persegi.

Pembayaran akan dibuat melalui empat pilihan iaitu tunai, hartanah, kombinasi aset dan tunai serta saham.

Pemilik tanah juga ditawarkan diskaun sebanyak 15 peratus bagi pembelian hartanah di Kampung Baru.- MalaysiaGazette