Home Nasional Banjir mula melanda seluruh negara

Banjir mula melanda seluruh negara

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Musim tengkujuh yang mula melanda menyebabkan beberapa kawasan di negara ini mulai mengalami banjir.

Di SEREMBAN, jumlah mangsa banjir di daerah Jelebu meningkat sedikit kepada 166 orang daripada 49 keluarga berbanding semalam iaitu seramai 162 mangsa daripada 47 keluarga hari ini.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Telekong, Kampung Chennah, Kampung Juntai, Kampung Simpang Durian dan Kampung Jerang.

Di BUKIT MERTAJAM, Pulau Pinang pula jumlah mangsa banjir di juga meningkat hari ini kepada 124 orang berbanding 31 orang semalam dengan dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di buka di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh berkata dua PPS itu membabitkan Dewan Orang Ramai Bukit Teh dan Dewan Orang Ramai Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tok Suboh itu dibuka semula selepas kawasan tersebut mengalami banjir kilat berikutan hujan lebat semalam.

Menurutnya selain itu, PPS Tadika Kemas Kampung Manggis yang dibuka sejak Selasa juga masih menempatkan 26 mangsa banjir termasuk seorang bayi daripada tujuh keluarga.

“Seramai lima orang daripada sebuah keluarga yang sebelum ini ditempatkan di PPS Tadika Kemas Kampung Manggis telah keluar untuk tinggal bersama keluarga mereka, rumah mangsa itu masih mengalami banjir,” katanya.

Manakala di SHAH ALAM, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS Kuala Selangor meningkat kepada 293 orang setakat 8 pagi ini daripada 133 pada malam tadi.

Jurucakap Smart Selangor Command Center (SSCC) berkata PPS Dewan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Desa Coalfields yang menempatkan 91 mangsa daripada 24 keluarga manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang menempatkan 164 mangsa daripada 46 keluarga.

“Mangsa di PPS Balai Raya Jaya Setia pula dipindahkan ke SK Jaya Setia pada 9.30 malam semalam dan menempatkan seramai 38 mangsa banjir daripada 10 keluarga,” katanya.

Sementara itu Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata hujan lebat pada petang semalam menyebabkan paras air banjir di beberapa kawasan meningkat antaranya di Kampung Jaya Setia, Bestari Jaya dekat sini.

Di IPOH, Perak juga, jumlah penduduk yang terjejas akibat banjir kilat di daerah Kerian meningkat kepada 112 setakat 8 pagi ini, berbanding 84 orang petang semalam.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat semua penduduk daripada 26 keluarga itu ditempatkankan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak yang dibuka sejak Isnin lalu.

Sementara itu, sebuah PPS turut dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Teras, Ijok dekat Batu Kurau, Selama susulan tanah runtuh semalam.

Difahamkan tanah runtuh akibat hujan lebat petang semaalam menyebabkan tiga rumah terjejas selain turut meragut nyawa seorang lelaki warga emas.

Di JOHOR BAHRU, Johor, seramai 55 mangsa daripada 13 keluarga masih ditempatkan di dua PPS di daerah Batu Pahat, setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar Johor, Tan Chen Choon berkata bilangan itu yang tidak berubah sejak tengah hari semalam membabitkan penduduk dari Kampung Sungai Kajang, Bagan dan kawasan sekitar Kompleks Peladang Batu Pahat Tongkang Pecah.- BERNAMA