KUALA LUMPUR Ketua jurulatih Johor Darul Takzim (JDT) II, Ervin Boban akan meninggalkan keluarga besar JDT selepas beliau mengucapkan selamat tinggal menerusi satu hantaran di Facebook rasmi miliknya,
Ucapan Boban itu turut dikongsikan oleh laman rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers sebagai penghargaan buat bekas pemain import di era semi pro dan juga jurulatih yang membantu JDT II menjulang Piala Cabaran 2019.
”Selepas 12 tahun perjalanan saya bersama keluarga JDT akhirnya bertemu penghujungnya. Perjalanan ini sungguh hebat dan berjaya, begitu banyak kenangan indah yang akan sentiasa tersemat di hati saya.”
”Terima kasih diucapkan khas kepada DYAM Tunku Mahkota Johor atas sokongan baginda dan peluang yang diberikan kepada saya sekali lagi untuk mewakili Negeri Johor.”
”Bermain untuk Johor pada tahun 90-an selama 7 tahun dan kini sebagai jurulatih selama 5 tahun memberikan saya sebuah kebanggaan yang sukar untuk diterjemahkan dengan kata-kata.
“Terima kasih kepada pengurusan, barisan kejurulatihan dan para pemain. Akhir sekali kepada para penyokong keluarga JDT yang hebat walau di mana sahaja anda berada.
“Hidup Johor !!! Demi Johor !!! Sehingga kita berjumpa lagi !!!” kata jurulatih kelahiran Split, Croatia itu menutup ucapan penghargaannya. – MalaysiaGazette