BANGI – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hari ini tidak ada ketidakpastian dalam peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau.
“Tidak ada ketidakpastian, ketidakpastian hanya kepada anda (media).
“Semua pemimpin parti (Pakatan Harapan) yang terdiri daripada majoriti berkata sokongan Tun M (Dr Mahathir) sebagai perdana menteri, dan kemudian Anwar, dan kita menentukan jangka masa,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia anjuran Angkatan Belia Islam Malaysia, di sini hari ini.
Mengenai beberapa tokoh pembangkang dan anggota parlimen yang menunjukkan sokongan kepada Dr Mahathir untuk menamatkan tempoh lima tahun sebagai perdana menteri, Anwar berkata, “Ini tidak berkaitan. Semua pemimpin parti mengatakan bahawa ini lebih baik diselesaikan oleh majlis Pakatan Harapan.”
Ditanya tentang pendirian Pas yang juga menyokong Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri sehingga habis penggal, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata itu perkara biasa bagi pembangkang.
“Pembangkang biasalah dia nak suruh timbulkan masalah.
“Parti yang berkuasa sekarang menentukan siapa kepimpinan. Sekarang kita sokong Tun M (Dr Mahathir) supaya dapat diangkat kedudukan ekonomi,” katanya.
Mengenai permohonan bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak untuk menyertai PKR, Anwar yang juga Presiden PKR berkata perkara itu masih dalam perbincangan.
“Status Salleh Keruak dah bincang tapi kita selalu tanya cabang, tanya negeri, proses tu berjalan. Ada yang setuju, ada juga yang bagi pandangan, kita dengar semua,” katanya.- BERNAMA