Home Nasional 1,149 mangsa banjir dipindahkan di seluruh negara

1,149 mangsa banjir dipindahkan di seluruh negara

Gambar hiasan

PUTRAJAYA  Seramai 1,149 mangsa banjir daripada 309 keluarga dipindahkan ke 13 pusat penempatan sementara (PPS) di lima negeri setakat pukul 12 tengah hari tadi.

Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), di Kuala Selangor, Selangor seramai 659 mangsa daripada 185 keluarga telah dipindahkan ke empat PPS di daerah itu.

Di Perak, mangsa terlibat seramai 185 orang daripada 42 keluarga yang ditempatkan di dua PPS, masing-masing di Kerian dan Hilir Perak.

Menurut NADMA, di Seberang Perai, Pulau Pinang pula seramai 131 mangsa daripada 35 keluarga dipindahkan ke tiga PPS di daerah itu.

Di Johor, seramai 105 mangsa daripada 24 keluarga dipindahkan ke dua PPS, masing-masing di Batu Pahat dan Pontian, manakala di Jelebu, Negeri Sembilan, seramai 69 mangsa daripada 23 keluarga ditempatkan di dua PPS.

NADMA turut melaporkan Jalan Bagan Serai di Kerian menuju ke Alor Pongsu dan Selama ditutup kepada semua kenderaan akibat banjir. – Bernama