Home Nasional Anwar setuju bincang peralihan kuasa PM di Mesyuarat PH

Anwar setuju bincang peralihan kuasa PM di Mesyuarat PH

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas hadir pada Program Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmu Dalam Peradaban Nusantara di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 27 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Isu peralihan kuasa Perdana Menteri, antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh dibawa ke Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau bersetuju agar isu ini di bawa ke meja mesyuarat PH.

“Kalau Majlis Pakatan Harapan nak bincang boleh tapi kita harus fokus kepada ekonomi dan biar Tun Dr Mahathir dapat mengemudi pentadbiran negara dengan berkesan,” katanya kepada media, hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu hari ini hadir dalam Wacana Ilmiah Masa Depan Budaya Ilmu dalam Peradaban Nusantara di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaharu Dr Mahathir yang bersetuju jika isu peralihan jawatan tertinggi itu dibincangkan dalam Majlis Presiden PH.

“Kalau nak bincang, boleh bincang dalam Majlis Presiden,” katanya di Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18 yang diadakan Baku, Azabaijan.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang menyatakan kesediaan beliau untuk berbincang peralihan jawatan Perdana Menteri menerusi mesyuarat Majlis Presiden PH.

Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa isu peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar secara terperinci seharusnya dibincangkan secara muafakat dalaman antara pemimpin PH.

Anwar sebaliknya berkata, PH sepatutnya fokus tentang ekonomi dan membiarkan Dr Mahathir menyelesaikan masalah itu buat masa ini.

“Saya tidak rasa ini (tarikh peralikan kuasa) isu untuk kita sekarang. Jadi kita kena sokong Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan biar dua tadbir tugasnya dan fokus kepada ekonomi.

“Dan masa yang tepat, kita akan teruskan (peralihan kuasa). Insya Allah,” katanya. -MalaysiaGazette