KUCHING – Pelaksanaan cuti umum bagi perayaan Deepavali masih belum dapat dilaksanakan di Sarawak, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengkaji tarikh cuti umum lain yang diwartakan kerana terdapat had jumlah cuti umum di Sarawak.
“Saya tidak dapat menetapkan cuti umum Deepavali buat masa ini kerana kami perlu melihat tarikh cuti umum yang lain di negeri ini.
“Mungkin kami perlu mencari satu tarikh cuti umum sebagai ganti untuk cuti umum Deepavali,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mengunjungi Penghulu Kaum India, Lucy Lingam di kediamannya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, beliau turut berharap cuti umum Deepavali dapat dilaksanakan di negeri ini, pada masa akan datang.
“Di Sarawak, kita mempunyai seramai 10,000 komuniti India dan diharapkan cuti umum bagi perayaan Deepavali ini dapat dilaksanakan untuk kaum itu,” katanya.
Dalam pada itu, Abang Johari mengucapkan selamat menyambut perayaan Deepavali kepada semua masyarakat India khususnya di Sarawak.
“Saya berharap agar perayaan Deepavali membawa kemakmuran dan perpaduan sekali gus menyumbang kepada pembangunan untuk rakyat negeri ini dan negara,” jelasnya.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Jaul Samion. – Bernama