Home Nasional Pembinaan premis niaga MARA pada masa depan perlu kajian terperinci

Pembinaan premis niaga MARA pada masa depan perlu kajian terperinci

Datuk Seri Rina Harun. foto NOOREEZA HASHIM, 27 JUN 2019.

PONTIAN – Setiap premis niaga MARA (Majlis Amanah Rakyat) yang akan dibina pada masa hadapan perlu melalui kajian terperinci bagi memastikannya mendapat permintaan tinggi.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah berkenaan akan dibuat menerusi satu program transformasi kementerian dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keadaan sosioekonomi setempat.

“Pada masa akan datang ia (premis niaga) akan dibina setelah kajian dibuat yang menunjukkan ia amat diperlukan (mendapat permintaan tinggi) oleh masyarakat.

“Kita bukan bina premis MARA ini untuk (sekadar) dibina tetapi kita nak bina agar dapat membantu usahawan-usahawan.

“Macam yang saya katakan tadi, kita telah pun memberikan sewaan (premis niaga) yang harganya lebih rendah jika dibandingkan dengan harga di pasaran,” katanya dalam sidang media sempena Program MARA Bersama Rakyat di Arked MARA Pontian di sini, hari ini.

Rina berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan mengenai langkah yang diambil pihaknya untuk memastikan MARA Mall atau premis niaga MARA di seluruh negara sentiasa mendapat sambutan orang ramai termasuk para peniaga.

Ini kerana terdapat premis niaga MARA di sesetengah negeri didapati tidak diisi peniaga.

Sementara itu, Rina menafikan dakwaan kononnya geran yang disampaikannya kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Parlimen Tanjung Piai baru-baru ini untuk digunakan bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Sebaliknya, beliau menjelaskan geran kepada MPKK itu merupakan peruntukan yang memang ada di bawah kementerian.

Pada 15 Oktober lepas, sebanyak 23 MPKK menerima geran RM10,000 setiap satu untuk digunakan bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan membabitkan pembangunan ekonomi, keceriaan mahu pun program ilmu dan sahsiah bagi manfaat penduduk. – Bernama