KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) tidak mahu lagi membincangkan mengenai isu peralihan kuasa Perdana Menteri, antara Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin, isu dakwaan Anwar bahawa ada cubaan khianat dalam menidakkan jawatan Perdana Menteri tidak berbangkit.
“Kita dah tak nak sentuh isu ini. Tiada lagi isu PM8, pengkhianatan.
“Kita kena move on dan mula buat kerja dan fokus kepada ekonomi dan beri servis kepada rakyat,” katanya kepada media selepas satu sidang media mengenai pengenalan Dasar Kebersihan Negara, di Parlimen hari ini.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu diminta mengulas mengenai dakwaan Anwar di Sabah semalam yang mengakui ada “percubaan khianat” untuk menghalangnya dari menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.
Menurut laporan sebuah portal, Anwar mendakwa tidak terganggu dengan gerakan itu.
Zuraida kemudiannya turut ditanya mengenai permohonan yang mahu bertemu Anwar secara bersemuka dan beliau berkata, tiada apa-apa keputusan dicapai kedua-dua pihak sampai sekarang.
“Saya tidak terima apa-apa update. Saya masih menunggu, masih menunggu,” katanya yang mengulangi perkataan sama sebanyak tiga kali.
Beliau sebelum ini mendesak mahu ‘mesyuarat rekonsiliasi’ diadakan antara dirinya dengan mereka yang tidak puas hati terhadap Anwar.
Malah Zuraida juga berkata tidak akan menghadiri mana-mana mesyuarat parti melainkan Anwar bersetuju bertemu dan beberapa pemimpin lain yang memihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Kumpulan yang memihak Timbalan Presiden PKR itu telah memulaukan semua mesyuarat rasmi PKR yang dipengerusikan oleh Anwar.
Zuraida sebelum ini mendakwa telah menghantar tiga pucuk surat meminta pertemuan bersama Anwar dengan beberapa pemimpin PKR namun didakwa tidak dilayan. -MalaysiaGazette