KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) disaran supaya mengadakan perbincangan bagi menangani aktiviti remaja yang menjadikan jalan raya sebagai tempat beraksi dengan basikal lajak.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, langkah itu perlu dilakukan bagi menyekat remaja yang menjadikan lalu lintas sebagai tempat untuk berlumba.
“Ini semua dari segi pengutkuasaanlah tapi seperti yang kita tahu penguatkuasaan untuk Akta Pengangkutan Jalan bukan hanya dilakukan oleh pegawai penguat kuasa JPJ, ia juga dikuatkuasakan secara bersepadu dan lebih sistematik serta efisien.
“Saya harap pihak JPJ dan PDRM boleh duduk bersama untuk bincang bagaimana menguatkuasakan dan juga memastikan kejadian-kejadian di mana ada penggunaan basikal ini berlaku dikawasan-kawasan berkaitan lalulintas,” katanya.
Anthony berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama pada Seminar Keselamatan Jalan Raya Asia Pasifik 2019 di sini hari ini.
Beliau ditanya wartawan berhubung aktiviti segelintir remaja dipercayai pelajar sekolah yang menjadikan jalan raya sebagai tempat beraksi dengan basikal lajak.
Baru-baru ini, tular sebuah rakaman menunjukkan beberapa remaja berlumba menggunakan basikal lajak yang dirakam seorang pemandu teksi.
Salah seorang remaja dalam kumpulan yang menungggang basikal berkenaan dengan laju gagal mengawal basikalnya menyebabkan dia terjatuh di satu selekoh.
Kejadian dikatakan berlaku di satu kawasan di Ampang dan remaja terbabit berlumba pada waktu malam.
Dalam pada itu Siew Fook berkata, pada masa ini belum ada lagi peruntukan undang-undang dibuat bagi menghukum ibu bapa yang membenarkan anak-anak mereka menggunakan jalan raya bagi tujuan itu.
Bagaimanapun katanya, ibu bapa mempunyai tanggungjawab untuk memantau anak-anak mereka daripada terlibat dengan aktiviti tidak sihat seperti itu.
“Kita belum sampai ke tahap itu (menghukum ibu bapa). Tetapi bagi saya ini lebih kepada diri mereka sendiri. Walaupun tanpa peruntukan undang-undang ibu bapa perlu untuk melihat dan menjaga anak-anak mereka.
“Jadi saya rasa semua pihak ada tanggungjawab dan ibu bapa kenalah prihatin terhadap tingkah laku terutamanya budak-budak kecil diperingkat sekolah rendah, tingkah laku mereka dan kemana mereka pergi perlu dipantau dengan lebih dekat lagi,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Siew Fook berkata, Cadangan untuk mewujudkan laluan khas khusus untuk motosikal adalah antara perkara yang akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Ujarnya, laluan khas itu akan diwujudkan di kawasan-kawasan yang berbahaya kepada motosikal serta daerah yang banyak terlibat dengan kemalangan jalan raya.
“Kementerian Pengangkutan bersama-sama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan JKJR menggalakkan supaya kita dapat ke arah di mana ada laluan khas untuk motosikal tetapi ia memakan perbelanjaan besar kalau nak diwujudkan satu laluan motosikal saja.
“Namun begitu cadangan tersebut akan dikemukakan dalam RMK12,” jelasnya. -MalaysiaGazette