KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengarahkan agar satu jawatankuasa khas dalam usaha menyahjenayahkan penagihan dadah dipercepatkan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata, arahan itu diberikan pada mesyuarat Kabinet minggu lalu.
Ia membolehkan kerajaan membincangkan bagaimana untuk membezakan antara penagih dan pengedar dadah serta kaedah membantu mereka yang terbabit dengan masalah penagihan dadah dan menggantikan hukuman penjara.
“Jawatankuasa ini membabitkan KBS kerana ini adalah isu anak muda. Berdasarkan statistik 2018, sebanyak 18,967 kes penagihan dadah membabitkan anak muda berbanding hanya 6,300 kes bagi golongan dewasa.
“Ini bermaksud jumlah kes penagihan dadah membabit anak muda adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding golongan dewasa. Ini adalah isu serius.
“Pendirian KBS dalam mesyuarat Kabinet dan Jawatankuasa Khas Anak Muda adalah untuk kita asingkan rawatan antara penagihan dadah dan pengedar dadah. Penagih dadah bukan penjenayah dan tidak patut dipenjarakan,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Syed Saddiq turut menegaskan, golongan penagih dadah tidak wajar dipenjarakan kerana perkara itu akan memusnahkan masa depan mereka.
“Apabila penagih dipenjara, mereka akan ada kes jenayah, menyebabkan kebolehan untuk mereka kembali kepada masyarakat, diberi pekerjaan dan ditempatkan semula dalam keluarga akan berkurangan mendadak.
“Cukuplah hidup mereka dibinasa kerana pengaruh dadah, tak perlulah mereka dipenjara, tidak dapat bekerja dan kembali dalam masyarakat, didiskriminasi dan akhirnya kembali terjerumus dengan masalah dadah,” katanya, menegaskan penyelesaian akan memfokuskan ke arah pemulihan.
Ditanya bagaimana kerajaan akan mengasingkan antara penagih, salah guna dan pengedar dadah, Syed Saddiq berkata, jawatankuasa itu akan mengambil kira beberapa perkara termasuk piawaian antarabangsa.
“Ada banyak piawaian antarabangsa untuk bezakan, selain ambil kira kuantiti dadah, serta isu seperti jika individu ditangkap sebelum sempat ambil dadah tapi bersamanya ada sejumlah besar dadah, nak klasifikasi penagih atau pengedar dadah. Ini akan dibincang dan diselesai secepat mungkin,” katanya.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan bersetuju mengeluarkan kesalahan-kesalahan berkaitan penagihan dadah daripada didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (Akta 7). – MalaysiaGazette
Untuk Selamat Anak ku…
Semua undang2 boleh ubah
Ganja bukan dadah
Menagih bukan jenayah
Tapi boleh hukum gantung sampai mati