KUALA LUMPUR – Pelabur-pelabur luar pesisir terus memasuki Bursa Malaysia untuk minggu kedua pada minggu lalu dengan membeli sebanyak RM302.4 juta ekuiti tempatan minggu lalu berbanding RM184.6 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, bursa memulakan minggu lalu dengan agak perlahan apabila dana antarabangsa melupuskan sebanyak RM23.7 juta ekuiti pada hari Isnin susulan harapan rangsangan ekonomi oleh China. Bagaimanapun, kuasa ekonomi kedua dunia itu mengekalkan penanda aras kadar pinjaman.
Bagaimanapun, pelabur asing kembali ke bursa dengan membeli RM217.6 juta ekuiti tempatan, terbesar dalam sehari sejak awal bulan Jun 2019.
Sentimen positif dicetuskan oleh tanda-tanda positif rundingan perjanjian perdagangan dengan kemungkinan kedua-dua pemimpin negara berkenaan boleh menandatangani perjanjian pada mesyuarat bulan depan di Chile.
Paras belian asing susut ketara kepada RM1.7 juta pada hari Rabu selepas pembuat dasar Britain menolak cadangan kerajaan untuk menerima perjanjian keluar dari Kesatuan Eropah, menyebabkan tempoh yang ditetapkan pada 31 Oktober dalam keraguan.
Firma penyelidikan itu menambah, walau bagaimanapun, pelabur asing dengan ketara meningkatkan pendedahannya terhadap saham-saham yang disenaraikan Bursa pada hari Khamis sebanyak RM117.0 juta.
Selera risiko disokong oleh penyelesaian potensi yang baik terhadap ketegangan perdagangan minyak sawit antara
India dan Malaysia.
Katanya, dana asing kembali menjadi pembeli bersih pada hari Jumaat menjelang cuti panjang sebanyak RM10.3 juta.
Dengan tiga hari berbaki pada bulan Oktober 2019, dana asing telah menjual sebanyak RM488 juta sepanjang bulan ini.
Sehingga hari ini, aliran keluar bersih dana asing dari Malaysia adalah sebanyak RM8.39 bilion.
Dari segi penyertaan, MIDF Research berkata, pelabur asing menyaksikan penurunan terbesar dengan nilai purata dagangan harian 18.2%. – MalaysiaGazette