KUALA LUMPUR – Pengacara dan penyanyi Alif Satar berjaya mencuri perhatian ramai apabila dia menamatkan cabaran Ironman Langkawi 2019 yang diadakan di Pantai Cenang, Langkawi pada Ahad lalu.
Namun ada netizen yang bertanya kepada pengacara Big Stage itu bagaimana menunaikan solat sebagai seorang beragama Islam selepas menempuh cabaran selama 15 jam.
Alif bagaimanapun menjelaskan peserta sukan triatlon itu sempat menunaikan solat sepanjang acara berlangsung.
“Maaf tanya, kalau dah lenjan 15 jam macam tu… solat semua dekat mana ya? Mereka ada berhenti solat ke? Maaf bertanya,” tulis salah seorang netizen menerusi ruang komen di Instagram.
Komen tersebut mendapat perhatian Alif yang menjelaskan bahawa pihak penganjur amat peka dan menyediakan ruang solat buat peserta menunaikan ibadah itu.
“Ada ruang solat di transition 2 (bike to run). Bila ambil wuduk ada volunteer tolong pegangkan botol… organiser Ironman sediakan ruang khas untuk atlet beragama Islam,” ujarnya.
Menerusi acara tersebut, Alif berjaya menamatkan cabaran dengan berenang sejauh 3.8 kilometer, berbasikal sejauh 180 kilometer dan berlari 42 kilometer dalam masa 15 jam 5 minit 49 saat.
Untuk perlumbaan itu juga seramai 2,500 atlet dari 70 negara telah menghantar penyertaan.
Sebelum ini, Alif mencatatkan masa enam jam 42 minit untuk menamatkan perlumbaan yang melibatkan berenang sejauh 1.6 kilometer, berbasikal 90 kilometer dan berlari sejauh 21.1 kilometer. – MalaysiaGazette