Home Nasional Kebebasan mahasiswa lebih besar harus disertai rasa tanggungjawab – Tun M

Kebebasan mahasiswa lebih besar harus disertai rasa tanggungjawab – Tun M

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Menteri Pendidikan, Maszlee Malik (kiri) dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching (kanan) berucap pada Mesyuarat Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) Tahun 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 30 OKTOBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan berusaha untuk memberi ruang kebebasan kepada mahasiswa melalui pelbagai pendekatan.

Namun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ruang kebebasan yang lebih besar itu harus disertai dengan rasa tanggungjawab yang sewajarnya.

Jelas beliau, setiap kebebasan yang mahasiswa mahukan harus disemai dengan nilai-nilai yang baik dan diiringi dengan integriti yang tinggi.

“Kebebasan itu seperti kemerdekaan, amat bernilai. Jika ia tidak diisi dengan nilai serta adab yang baik, kebebasan itu menjadi kosong dan tidak bermakna ataupun membawa erti yang besar.

“Mahasiswa hendaklah meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan yang diambil atas prinsip kebebasan masih di bawah nilai-nilai kesopanan, kesusilaan dan norma-norma kebudayaan masyarakat kita.

“Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh dari desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat dan kedudukan mahasiswa tidak dipertikaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.

Dr. Mahathir menambah, apabila mahasiswa dilihat sebagai kader atau tunggangan sesuatu kelompok berkepentingan, jati diri serta hormat masyarakat terhadap mahasiswa sebagai pelapis kepimpinan negara masa depan akan tercalar.

Justeru ujar beliau, MPPK juga merupakan simulasi latihan yang terbaik kepada mahasiswa sebagai persiapan untuk menjadi pelapis kepada kepimpinan Negara pada masa akan datang.

Jelas beliau, pengalaman yang digarap dalam MPPK tidak boleh diperolehi di tempat lain.

“Malah, peluang ini terhad kepada pemimpin mahasiswa yang dilantik melalui Pilihan Raya di setiap Institut Pengajian Tinggi.

“Mesyuarat MPPK merupakan pendedahan awal di dalam menyerlahkan kewibawaan mahasiswa untuk mentafsir dan menilai sesuatu perkara dari pelbagai sudut.

“Kekhilafan dalam membuat keputusan akan memberikan impak yang sangat besar terhadap kesejahteraan Negara.

“Oleh itu, Mesyuarat MPPK merupakan medium terbaik untuk mendidik mahasiswa daripada membuat keputusan terburu-buru dan tidak dicapai dengan kepanasan darah muda,” katanya. – MalaysiaGazette