Home Uncategorized Negara ‘rapuh’ sebab itu kena semak latarbelakang pendakwah asing – Mujahid

Negara ‘rapuh’ sebab itu kena semak latarbelakang pendakwah asing – Mujahid

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 30 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama amat ‘rapuh’, justeru keputusan kerajaan untuk menyemak latarbelakang pendakwah dari luar yang ingin menyampaikan ceramah di negara ini dlihat sebagai satu keperluan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang menyamput baik langkah tersebut berkata, semakan seumpama itu bagi mengelak negara ‘dicerobohi’ dakyah luar yang belum tentu elok untuk kepelbagai budaya di Malaysia.

“Ini sangat penting kerana keselamatan negara amat penting dan ini perkara paling utama.

“Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, ia sangat rapuh apa pun boleh terjadi. Bila masa kita nak jaga kepentingan kita sudah pasti kepentingan negara akan jadi keutamaan,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Mujahid juga melihat peraturan tersebut sebagai amat sesuai kerana ia merupakan langkah pertama untuk mengesan sebarang gerakan membawa norma-norma asing yang tidak diterima di negara ini.

“Mana pendakwah tidak kira Islam ataupun tidak kena periksa latar belakang mereka kerana kemungkinan besar mereka ada batas fahaman tertentu yang tidak sesuai dengan konteks Malaysia.

“Kedua, kemungkinan juga berlaku kuliah atau ceramah mereka tidak menghargai sensitiviti kaum dan agama di negara ini,” katanya lagi.

Mujahid mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pihaknya akan melakukan proses semakan dengan badan keagamaan berkaitan di negara ini  bagi memastikan kumpulan pendakwah itu bebas fahaman songsang.

“Sesiapa saja yang datang ke sini, walau apa bentuk ceramah sekalipun, kita pantau.

“Pendakwah dalam kalangan Islam, ada Majlis Agama Islam Negeri dan kalau mereka (pendakwah) tiada tauliah, tidak akan dibenarkan.

“Kalau pendakwah bukan Islam pun kita pantau juga,” katanya menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, semalam. – MalaysiaGazette