Home Nasional Pegawai pendakwa, 14 anggota polis Terengganu ditahan terlibat dadah

Pegawai pendakwa, 14 anggota polis Terengganu ditahan terlibat dadah

PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Seorang pegawai pendakwa dan 14 anggota polis berpangkat rendah adalah antara 8,706 pesalah dadah yang ditahan sejak 1 Jan hingga 28 Okt tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, pegawai serta anggota polis yang ditahan itu berusia antara 30 dan 40 tahun, dipercayai terlibat dengan gejala dadah disebabkan beberapa faktor, termasuk masalah keluarga, perasaan ingin tahu serta pergaulan dengan pesalah dadah yang lain.

“Kes melibatkan anggota polis ini ada yang sudah dalam proses pertuduhan di mahkamah dan ada yang dalam peringkat siasatan.

“Kesemua mereka yang positif dadah telah digantung tugas dan pihak polis masih meneruskan ‘Op Blue Devil’ bagi mengesan sekiranya masih terdapat dalam kalangan kami (polis) yang terlibat dengan gejala tidak sihat ini,” katanya kepada pemberita selepas program Perasmian Pelupusan Barang Kes Narkotik Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Katanya, daripada 8,706 tangkapan yang dibuat, 3,584 daripadanya membabitkan kesalahan memiliki dan mengedar dadah manakala selebihnya melibatkan penagihan dadah.

Aidi berkata, jumlah tangkapan pada tahun ini mencatatkan sedikit peningkatan berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 8,101 tangkapan.

“Nilai sitaan melibatkan harta seperti motokar, barang kemas, wang tunai dan barang elektrik meningkat daripada RM1.1 juta tahun lepas kepada RM3.6 juta tahun ini,” katanya.

Dadah jenis Yaba atau lebih dikenali sebagai pil kuda adalah paling popular di negeri ini disebabkan harganya yang murah dan mudah diseludup dari negara jiran menggunakan jalan darat.

Pada program pelupusan hari ini, pelbagai jenis dadah bernilai lebih RM800,000 yang melibatkan 971 kertas siasatan bermula 2007 hingga 2017 akan dihantar ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan untuk dilupuskan esok. – Bernama