KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berharap proses penamaan calon PRK Parlimen Tanjung Piai tidak dicemari dengan insiden tidak baik.
Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesemua pihak perlu mematuhi peraturan dan tidak menganggu kententeraman awam.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik yang terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Azhar, perhatian khusus perlu diberikan kepada peruntukan di bawah Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5] mengenai larangan semasa hari penamaan calon.
Antara lainnya, penggunaan apa-apa alat muzik ataupun pembesar suara bagi tujuan diayah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan kenderaan dan vesel tidak dibenarkan dan merupakan satu kesalahan.
“Orang ramai serta penyokong-penyokong parti dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon. Jika ada mana-mana pihak yang melanggar peruntukan seksyen ini, pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya lagi.
Parti-parti politik yang terlibat adalah bertanggungjawab untuk mengawal penyokong masing-masing pada setiap masa untuk menjamin proses penamaan calon berjalan lancar dan dalam suasana yang selesa dan aman, katanya.
Pusat penamaan calon akan diadakan pada 2 November ini di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.
Azhar juga menegaskan, proses penamaan calon boleh dikemuka antara pukul 9 hingga 10 pagi kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya.
Sekiranya mana-mana bakal calon telah membayar deposit pilihan raya terlebih dahulu, perlu diingatkan bahawa resit pembayaran tersebut hendaklah dibawa pada hari penamaan calon sebagai bukti bayaran.
Bagi calon yang mewakili mana-mana parti politik, adalah diingatkan bahawa surat kebenaran untuk menggunakan simbol parti yang diwakili hendaklah dikemukakan semasa menyerahkan kertas penamaan calon.- MalaysiaGazette