Home Politik Tumpuan malam ini: Wee Jeck Seng calon BN, UMNO Tg Piai perlu...

Tumpuan malam ini: Wee Jeck Seng calon BN, UMNO Tg Piai perlu tempoh bertenang?

Wee Jeck Seng

KUALA LUMPUR – UMNO Bahagian Tanjung Piai mungkin memerlukan tempoh bertenang selepas mendapati permintaan mereka untuk mengambil alih kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada MCA dikatakan gagal.

Difahamkan, Barisan Nasional sudah bersetuju mencalonkan calon MCA, Wee Jeck Seng bagi Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai.

Sumber berkata, perkara itu dimuktamadkan dalam mesyuarat antara kepemimpinan tertinggi BN bersama parti komponen, lewat petang semalam.

“Ya, bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Seri Wee Jeck Seng akan diumumkan sebagai calon BN malam ini, hasil persetujuan kepimpinan tinggi parti.

“Kompromi yang dicapai antara parti komponen BN menunjukkan parti masih menjunjung semangat permuafakatan yang diperjuang sejak penubuhannya.

“Selepas ini (pengumuman calon) masanya untuk kita bekerjasama, bersepakat dan gigih berusaha bagi memastikan kemenangan BN di Tanjung Piai,” katanya memetik laporan VO1CE Suara Johor hari ini.

Sebelum ini Umno bahagian Tanjung Piai mendesak kerusi Parlimen itu diberikan kepada parti tersebut kerana yakin mampu memenanginya pada pilihan raya kecil (PRK) akan datang.

Ketua Umno bahagian Tanjung Piai, Jefridin Atan dipetik sebagai berkata sebanyak 88 ketua cawangan dalam Umno Bahagian Tanjung Piai meluluskan resolusi bersama-sama dalam satu mesyuarat pada Sabtu lalu.

“Kita Umno bahagian Tanjung Piai yakin menuntut kerusi itu diberikan kepada Umno pula.

“Sebabnya, pertama kerusi MCA itu terlalu lama sedangkan kita mempunyai majoriti Melayu di kawasan itu berbanding kaum Cina. Oleh kerana calon kita telah tewas, adalah sesuai bagi saya giliran diberi kepada Umno pula,” katanya.

Bagaimanapun sehingga kini, dilaporkan permintaan Umno Bahagian Tanjung Piai ditolak bagi mengekalkan persefahaman dan permuafakatan dalam BN.

Bagaimanapun keputusan ini sekaligus memberi kelebihan kepada PH untuk mengekalkan kerusi parlimen berkenaan sekiranya ‘tempoh bertenang’ ini berterusan.

PH dijangka tidak menghadapi masalah untuk mendapat lebih 80% pengundi Cina yang meliputi 41% pengundi keseluruhannya.

Bagaimana pula sikap pengundi Melayu? Siapakah pilihan mereka antara Wee Jeck Seng dan Karmaine Sardiri atau Timbalan Setiausaha Agong Gerakan, Wendy Subramaniam?

Pemerhati politik berpendapat, pemilihan calon MCA mungkin tidak akan berlaku sekiranya, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan terus memangku jawatan presiden parti sebagaimana PRK sebelum ini.

Wee Jeck Seng bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan yang juga penyandang jawatan parlimen berkenaan namun tewas pada pilihan raya umum lalu.

Wee dilahirkan pada 20 April 1964 di Pontian, Johor. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Universiti Sunderland. Beliau berkahwin dengan Lin Ruyun. – VOICE

2 Komen

  1. Kannn dah kata… Zahid tak layak jadi presiden umno… Tok mat je yg boleh memimpin org melayu skrg ni…

  2. Harap-harap pemilihan umno nanti sebelum PRU15 tok mat ganti zahid… Zahid hati kecik la… Tak layak pimpin org melayu di zaman melayu di hina…

Comments are closed.