Home Ekonomi Widad naikkan tawaran RM5.3 billion untuk miliki PLUS

Widad naikkan tawaran RM5.3 billion untuk miliki PLUS

logo plus

KUALA LUMPUR – Widad Business Group Sdn Bhd (WBG) menyemak semula tawaran ke atas PLUS Expressway Berhad kepada RM5.3 bilion dengan cadangan untuk menguasai 100 peratus kepentingan ekuiti ke atas pengendali lebuh raya itu.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan WBG, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah (gambar kecil) berkata, dalam pembentangan kepada Kementerian Kerja Raya semalam, pihaknya menawarkan RM5.3 bilion sebagai pertimbangan tunai.

Selain pengecualian pampasan sebanyak RM3.038 bilion dan andaian hutang RM30 bilion yang membawa kepada nilai hutang perniagaan untuk ditawarkan sebanyak RM38.338 bilion.

“Semakan semula tawaran itu juga termasuk dua lagi tambahan klausa iaitu pengecualian RM11 bilion sukuk yang dijamin oleh kerajaan dan pilihan oleh kerajaan untuk membeli balik PLUS selepas 10 tahun berdasarkan nilai pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 9 Oktober lalu, WBG telah membuat cadangan awal kepada kerajaan untuk membeli konsesi PLUS dengan mengambil alih 51 peratus kepentingan yang dimiliki oleh Khazanah Malaysia Bhd (Khazanah) pada nilai pertimbangan tunai RM1.5 bilion atau mengambil alih 100 peratus konsesi yang dimiliki oleh Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada pertimbangan tunai RM3 bilion.

Tawaran terbaru bernilai RM38.338 bilion termasuk hutang oleh WBG itu merupakan tawaran tertinggi dari sektor swasta.

Setakat ini  kerajaan telah menerima tiga cadangan pengambilalihan untuk PLUS iaitu daripada Maju Holdings Sdn. Bhd., bernilai RM34.9 bilion termasuk hutang, serta masing-masing dari RJR Capital (RM3.5 bilion) dan Tan Sri Halim Saad (RM5.2 bilion).

Sebelum WBG menyemak tawaran, firma pelaburan berpangkalan di Hong Kong milik rakyat Malaysia, RRJ Capital Ltd juga telah menaikkan harga tawaran pengambilalihan PLUS kepada RM3.5 bilion berbanding RM3 bilion yang ditawarkan sebelum ini.

Tawaran itu dikemukakan walaupun Khazanah menegaskan tidak berminat untuk menjual syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia itu yang juga aset strategiknya kepada mana-mana pihak.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif RRJ Capital, Richard Ong, berkata, cadangan tawaran yang telah ditambah baik itu turut mencadangkan yang kerajaan tidak perlu membayar kepada PLUS sebanyak RM2 bilion sehingga 2023.

Selain itu, katanya, RRJ mencadangkan pembentukan usaha sama (JV) 50-50 di antara firma pelaburan itu dengan dana persaraan nasional seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Haji, Permodalan Nasional Bhd (PNB) atau Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Muhammad Ikmal berkata, di dalam cadangan yang dihantar kepada Kementerian Kewangan, WBG telah menyenaraikan beberapa komitmen untuk pengambilalihan PLUS.

Untuk kadar tol, WBG mencadangkan dua mekanisme berbeza iaitu, 25 peratus hingga 40 peratus pengurangan ke atas pengguna lebuh raya menerusi diskaun tol secara langsung atau pengurangan tol 18 peratus secara langsung ke atas pengguna lebuh raya dan pengurangan baki 7 peratus hingga 22 peratus akan disalurkan kepada kerajaan untuk tujuan kebajikan kumpulan sasar.

“Tambahan dari itu, diskaun tol sebanyak 50 peratus akan diberi semasa perayaan utama di Malaysia seperti Hari Raya Aidil Fitri, Tahun Baru Cina dan Deepavali,” katanya lagi.

Beliau menambah, komitmen WBG untuk pengambilalihan ini dapat membantu mengurangkan beban kewangan kerajaan sebagaimana dikecualikan daripada membayar pampasan tol di masa depan dengan pelepasan dari Jaminan Sukuk bernilai RM11 bilion dan pinjaman masa hadapan PLUS yang lain.

WBG juga, katanya, akan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, melaksanakan penggunaan teknologi kepintaran buatan bagi meningkatkan kelancaran dan pengurusan trafik selain merancang untuk menaiktaraf kemudahan sedia ada.

Selain itu, WBG merancang membangunkan pusat mesra keluarga, outlet membeli belah, pusat-pusat perniagaan dan hub hiburan di sepanjang sehenti antara bandar yang akan dilakukan bagi meningkatkan ekosistem semasa lebuh raya itu.

“Kami akan memperkenalkan beberapa projek atau kerja-kerja bagi memberi manfaat yang lebih besar kepada kontraktor, pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan,” tambah Muhammad Ikmal.

Beliau memberitahu, WBG memiliki rekod pencapaian yang membanggakan lebih 20 tahun di dalam industri dan berjaya menyiapkan lebih dari RM2 bilion projek awam dan swasta termasuk perkhidmatan fasiliti dan pengurusan di Istana Negara dan JB Sentral. – MalaysiaGazette