Home Ekonomi Zeti setuju GLC jangan buat pasaran sesak

Zeti setuju GLC jangan buat pasaran sesak

Zeti Akhtar Aziz

KUALA LUMPUR- Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bersetuju dengan pandangan Perdana Menteri yang mahu syarikat milik kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) tidak menyesakkan pasaran yang turut diceburi sektor swasta.

“Perdana Menteri tidak mengatakan GLC dan GLIC tidak patut bersaing dengan sektor swasta tetapi beliau mahukan syarikat-syarikat milik kerajaan ini tidak menyesakkan pasaran dan bersaing dengan pesaing yang setaraf,” jelasnya kepada pemberita di Persidangan Korporat PNB 2019 di sini hari ini.

Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika menyampaikan amanat khas di persidangan tersebut sekali lagi mengingatkan GLC dan GLIC supaya tidak bersaing secara langsung dengan sektor swasta terutamanya dalam perniagaan bukan teras.

Jelasnya, GLC dan GLIC perlu diurus secara profesional dan tidak boleh menyekat persaingan sektor swasta.

Sementara itu, Zeti ketika menyampaikan ucapan aluannya turut menasihatkan GLC dan GLIC supaya menyedari peranan masing-masing dalam ekonomi.

GLC dan GLIC juga katanya perlu menilai keutamaan masing-masing bagi memastikan agenda pertumbuhan lestari dapat dicapai.

Tambahnya, sektor koporat memainkan peranan utama dalam mencapai agenda tersebut.

Jelasnya, landskap ekonomi dan kewangan sedang berubah secara pesat manakala perkembangan geopolitik dan sosial kini juga telah memberi kesan terhadap ekonomi dan kewangan.

Sementara itu, kemajuan teknologi juga memberi kesan terhadap transformasi.

Bercakap mengenai persekitaran global, Zeti berkata, unjuran ekonomi meramalkan beberapa negara pesat membangun dan negara membangun akan merekodkan pertumbuhan yang lebih baik tahun depan.

Namun begitu, masih terdapat risiko terhadap pertumbuhan ekonomi terutamanya yang mempunyai kaitan dengan perkembangan geopolitik yang tidak menentu serta ketidaktentuan pasaran kewangan.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

GLC jangan sekat persaingan sektor swasta- PM