
KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata kerajaan telah meluluskan untuk mengharamkan produk yang tertera perkataan ‘tiada minyak sawit’ yang berada di pasaran.
Menurut menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution, peraturan yang difikirkan antaranya seperti merangka akta.
“Cadangan ini telah dibawa ke Kabinet pada 18 Oktober dan dipersetujui oleh Ahli Parlimen.
“Langkah ini juga selaras dengan matlamat kerajaan untuk menyokong industri minyak sawit melalui kempen Sayangi Sawitku,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama di Parlimen hari ini.
Hadir sama adalah Menteri Perindustrian Utama, Teresa Kok.
Saifuddin berkata, kementeriannya telah melakukan pemeriksaan di 2,609 premis di seluruh negara dan mendapati 12 produk dengan label seperti “minyak kelapa sawit” atau “tidak mengandungi minyak sawit” dijual di premis-premis berkenaan.
Oleh yang demikian, pihak KPDNHEP telah mengeluarkan nasihat agar produk-produk itu tidak lagi dijual.
Sementara itu, Teresa Kok berkata, kebanyakan label digunakan sebagai gimik pemasaran oleh pengeluar Eropah untuk memberi gambaran negatif mengenai minyak sawit.

Memberikan contoh mentega kacang, Teresa berkata, tiada bahan minyak sawit digunakan dalam produk itu.
Beliau berkata, tuduhan itu bersifat negatif dan tidak benar sama sekali.
Justeru itu, tindakan tersebut perlu dihentikan segera kerana tidak memberikan sebarang manfaat kepada Malaysia.
“Mengapa anda perlu menentukan sama ada atau tidak minyak sawit?
“Persepsi negatif dan perkara ini tidak benar dan memberikan kesan buruk kepada produk berasaskan minyak sawit tanpa disokong bukti saintifik,” kata Teresa.
Beliau berkata Indonesia, pengeluar minyak sawit terbesar di dunia, mempunyai undang-undang yang sama untuk melindungi industri minyak sawitnya, yang mana ia mengharamkan makanan yang dilabel sebagai “bebas minyak sawit”. -MalaysiaGazette