Home Sukan Pengadil tempatan jadi pilihan final Piala Malaysia

Pengadil tempatan jadi pilihan final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR – Bekas pengadil kebangsaan, Subkhiddin Mohd. Salleh memuji langkah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mahu menggunakan khidmat pengadil tempatan pada aksi final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Ini kerana Subkhiddin yang sebelum ini menyandang Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM percaya tindakan itu akan menyuntik motivasi kepada pengadil tempatan untuk memberikan prestasi lebih baik khusus di peringkat tertinggi domestik seperti Piala Malaysia.

Bagaimanapun, legenda pengadil negara itu memberikan peringatan kepada penyokong-penyokong agar tidak terlalu cepat melatah atau menghukum pengadil tempatan yang sebelum ini sering menjadi subjek kecaman daripada pelbagai pihak.

Sebagai rekod, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan bertemu Kedah dalam aksi final Piala Malaysia 2019 di SNBJ.

“Secara peribadi, saya berpendapat tindakan FAM ini sangat dihargai daripada kalangan pengadil tempatan bermula peringkat di bawah sehingga ke atas.

“Beraksi di pentas final seperti Piala Malaysia bukan sahaja pencapaian tertinggi tetapi ia juga adalah salah satu proses pembangunan buat pengadil itu sendiri.

“Saya bimbang jika pengadil import selalu dibawa (ke pentas final), ia akan menjadi anti klimaks dan membunuh semangat pengadil tempatan kita untuk memberikan persembahan lebih baik.

“Jadi, kita tidak boleh mengharapkan pengadil sama ada luar dan dalam negara itu sempurna tetapi saya percaya kritikan yang ideal akan mematangkan pengadil tempatan dan mereka harus memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya.

“Ini kerana setiap yang dilalui mereka akan menjadi proses untuk menjadi pengadil yang lebih baik dan mereka boleh menerima kritikan cuma janganlah sampai menghina pengadil tempatan kita,” ujarnya.

Dalam laporan media sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuan Md Dali Wahid menyatakan bahawa pihaknya sudah senarai pendek lapan pengadil tempatan bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) untuk dipilih mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia 2019.

Pengumuman pengadil yang bakal dipilih itu akan dibuat dalam masa terdekat ini.

Dalam perkembangan sama, Subkhiddin menegaskan beliau tidak menolak cadangan positif FAM seperti membawa pengadil import dari Jepun mengadili final Shopee Piala FA 2019, Julai lalu.

Apa yang dimahukan Subkhiddin adalah sekadar peringatan membela nasib pengadil tempatan supaya tidak dipinggirkan sebagaimana beliau optimis kualiti pengadil tempatan juga setanding dengan pengadil dari luar negara.

“Jangan salah faham, saya tidak menentang idea untuk membawa pengadil import datang ke (Liga) Malaysia tetapi saya harapkan adalah kedatangan mereka ke sini sekurang-kurangnya turut dapat memberikan manfaat kepada pengadil tempatan kita.

“Jika mereka diberikan peluang datang menjadi pengadil di negara kita, tak salah peluang itu turut ditawarkan juga kepada pengadil tempatan kita.

“Jadi, kita boleh menyaksikan berlaku proses pembangunan pengadil kita sendiri dan saya secara peribadi mahu memuji pengadil tempatan kerana mereka sebenarnya memiliki kualiti setanding dengan pengadil dari luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette