KUALA LUMPUR – Selepas menjadi pilihan di Singapura, keenakan sambal belacan hasil air tangan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semakin mendapat perhatian.
Kali ini, hidangan itu mendapat permintaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Abdul Aziz Shah pula.
Perkara tersebut didedahkan oleh Tunku Azizah sendiri dalam laman Twitter baginda hari ini.
“Hari ini KDYMM Sultan Selangor minta saya sambal belacan,” tulis Tunku Azizah dalam laman Twitter yang menggunakan akaun cheminahsayang.
Sebelum ini, Tunku Azizah membuka rahsia bagaimana sambal belacan yang dihasilkannya menjadi kegemaran bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew.
Tunku Azizah mendedahkan baginda adalah ‘pembekal rasmi’ sambal belacan kepada Kuan Yew satu ketika dulu.
Malahan ujar Tunku Azizah, sehingga kini bekalan sambal belacan masih disiapkan untuk pembesar republik itu kerana ia turut digemari oleh anak lelaki Kuan Yew, yang juga Perdana Menteri Singapura sekarang, Lee Hsien Loong.
“Telah lama saya ingin berkongsi (rahsia) ini dengan rakyat Malaysia. Saya pernah menjadi pembekal rasmi sambal belacan kepada Perdana Menteri Singapura… Datuk Lee Kuan Yew … dan kini pembekal kepada anaknya, PM Lee,” tulis baginda.
Namun ciapan terbaru baginda itu sekali lagi membuatkan netizen tidak keruan apabila rata-ratanya menyatakan keinginan untuk turut sama mencuba keenakan sambal belacan yang menjadi buah mulut ramai itu. – MalaysiaGazette