KARACHI – Sekurang-kurangnya 70 orang maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah keretapi penumpang terbakar di Pakistan.
Rakaman video menunjukkan tiga gerabak dijilat api dengan asap berkepul-kepul keluar dari tingkap dan terdapat laporan menyatakan kedengaran tangisan dan jeritan saksi yang terperangkap.
Bagaimanapun, menurut Menteri Keretapi, Sheikh Rashid Ahmed, kebanyakan kematian berlaku kerana penumpang melompat keluar untuk menyelamatkan diri ketika keretapi yang terbakar itu masih bergerak.
Ahmed berkata, insiden tersebut disebabkan letupan tong gas ketika para penumpang sedang memasak sarapan pagi dalam keretapi pada pagi ini, lapor The Guardian.
Adalah satu kesalahan penumpang membawa gas ke dalam keretapi tetapi peraturan tersebut sering dilanggar.
Insiden tersebut berlaku pada keretapi, Tezgam Express, yang menyediakan perkhidmatan antara Karachi dan Rawalpindi, ketika ia melalui wilayah Punjab.
Timbalan Pesuruhjaya bandar Multan, Mansoor Ahmed, mengesahkan jumlah kematian seramai 70 orang setakat ini, dengan 30 penumpang cedera yang mana kebanyakannya berada dalam keadaan kritikal.
Seramai sembilan mangsa yang melecur diterbangkan ke hospital daerah Multan.
Hospital bergelut untuk mengahadapi tragedi yang besar itu. Ahmed mengesahkan Hospital Daerah Rahim Yar Khan menghadapi maslaah kekurangan ruang untuk menempatkan mayat yang menyebabkan beberapa mayat dibawa ke Hospital Daerah Multan, perjalanan selama tiga jam.
Perdana Menteri Pakitsan, Imran Khan menerusi akaun Twitter berkata: “Sangat sedih kerana tragegi keretapi Tezgam. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan berdoa supaya mereka yang cedera cepat sembuh. Saya telah mengarahkan siasatan disiapkan segera,”.
Pada Julai lalu, sekurang-kurangnya 23 orang terbunuh di daerah yang sama apabila sebuah keretapi penumpang yang datang dari arah Lahore merepuh keretapi kargo yang berhenti. – Agensi