KUALA LUMPUR – Kempen SimplySiti Di Hati 2019 yang akan dilaksanakan sepanjang November dan Disember ini menyasarkan kutipan dana RM70,000 bagi menampung kos pembedahan lima pesakit.
Pengasasnya yang juga penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berkata, sejak direalisasikan pada tahun 2011, kerjasama dengan Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) berjaya mengumpul dana lebih RM200,000.
Jelasnya, ia bagi mengisi tabung Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) dan sudah membantu 14 kanak-kanak pesakit jantung.
Siti berkata demikian selepas pelancaran kempen SimplySiti Di Hati 2019 bersama Yayasan IJN yang bertujuan mengumpul dana bagi membantu lima kanak-kanak yang menghidap masalah jantung.
Pada acara sama, Siti turut melancarkan single terbaharunya, Terang ciptaan komposer Aubrey Suwito manakala lirik ditulis Shah Shamsiri sebagai lagu tema kempen SimplySiti Di Hati 2019.
Sejumlah RM10,000 lagi akan disumbangkan ke Tabung Yayasan IJN sekiranya video lagu tema kempen itu mendapat tatapan sehingga 1 juta penonton di saluran YouTube Siti Nurhaliza Official.
Video itu akan mula dimuat naik bermula 1 November ini.
Bagi menjayakan kempen ini, SIMPLYSITI turut menjalinkan kerjasama dengan pelbagai syarikat ternama termasuk Astro GoShop selaku rakan niaga TV rasmi. – MalaysiaGazette