SHAH ALAM – Belanjawan Selangor 2020 yang mengalami penyusutan sehingga RM230 juta berbanding 2019 didakwa berpunca daripada langkah penjimatan Kerajaan Negeri Selangor.
Ketua Pembangkang, Rizam Ismail berkata, sekiranya ia berterusan, beliau tidak menolak kemungkinan Kerajaan Negeri Selangor akan membentangkan perbelanjaan tambahan seperti tahun lalu.
“Belanjawan Negeri 2020 menyaksikan jumlah peruntukan yang lebih kecil berbanding 2019.
“Menteri Besar menyatakan pengurangan ini adalah kejayaan kerajaan negeri dalam membuat beberapa penjimatan.
“Kita khuatir pengurangan jumlah belanjawan ini hanya akan menyaksikan kerajaan negeri perlu sekali lagi membentangkan perbelanjaan tambahan seperti mana yang dilakukan untuk tahun ini,” katanya kepada pemberita di lobi bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Besar, Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2020 berjumlah RM2.66 bilion petang ini.
Belanjawan Kerajaan Negeri Selangor itu menyaksikan sebanyak RM1.22 bilion diperuntukkan untuk belanja mengurus manakala RM1.133 bilion pula bagi belanja pembangunan.
Sebelum ini, kerajaan negeri telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM2.56 bilion bagi Belanjawan Selangor 2019 meliputi RM1.28 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM1.28 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Dalam pada itu, Rizam juga menegaskan, jumlah belanja mengurus lebih besar daripada belanja pembangunan boleh mengundang kepada perbelanjaan tambahan pada tahun depan.
“Sekiranya dilihat pecahan antara perbelanjaan mengurus dan pembangunan, kita dapat lihat peratusan kepada perbelanjaan mengurus adalah lebih tinggi berbanding tahun lalu.
“Manakala bagi perbelanjaan pembangunan pula, berlaku pengurangan sebanyak RM147 juta,” katanya lagi. – MalaysiaGazette