PUTRAJAYA – Pengamal media diingatkan tidak terlalu ghairah membuat laporan tentang individu yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Ketua Pesuruhjayanya Latheefa Koya, tindakan tersebut dilihat tidak adil terhadap individu yang dipetik namanya, sehingga pada akhirnya menimbulkan prejudis kepada masyarakat meskipun mereka belum disabitkan kesalahan.
“Bagi saya kita kena adil buat satu laporan, bila buat tangkapan. Contoh masuk bangunan untuk dapatkan maklumat, itu tidak bermakna orang itu sudah salah.
“Kadang kala tangkapan itu bila disensasikan tidak adil (bagi) orang yang disebut yang mungkin hanya membantu siasatan sahaja, akhirnya dipandang serong,” katanya kepada pemberita di sini.
Latheefa menyatakan demikian ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi Media 2019.
Beliau berkata, pengamal media perlu bertanggungjawab dalam membuat laporan tentang perlakuan rasuah kerana berita berdasarkan kes yang masih dalam siasatan boleh mewujudkan persepsi negatif.
“Saya ingin mengajak laporan suatu isu rasuah dengan penuh tanggungjawab supaya menjadi sumber masyarakat,” ujarnya. -MalaysiaGazette