SINGAPURA, 1 Nov — Rakyat Malaysia berpeluang menikmati harga yang dijamin terendah bersempena kempen di platform Lazada – Festival Beli-Belah Global 11.11 pada tahun ini, kata Presiden Bersama kumpulan itu, Jing Yin.
Sepanjang jualan selama 24 jam pada 11 November itu, Lazada yang juga peneraju platform e-dagang Asia Tenggara akan menawarkan 80 juta tawaran dengan 25 peratus daripadanya membabitkan penghantaran percuma.
Menjelang tarikh itu, kira-kira 50 juta baucar beli-belah akan ditawarkan sepanjang 11 hari bermula hari ini.
Selain berkongsi keterujaan bagi kempen jualan 11 hari itu, Jing Yin turut mengakui perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan setakat ini tidak memberi sebarang kesan kepada Lazada yang dimiliki Alibaba.
“Tiada impak,” katanya ringkas bagi menjawab pertanyaan Bernama di luar majlis makan tengah hari media bersempena acara 11.11, baru-baru ini.
Lazada merupakan yang pertama membawa konsep festival ke rantau ini tujuh tahun lepas dan terus memacu inovasi runcit, tidak hanya di Malaysia tetapi juga di lima pasaran lain.
Bagi kempen ini, Jing Yin berkata LazMall iaitu pusat beli-belah maya Lazada, akan mengetengahkan beberapa jenama eksklusif termasuk paparan dan pengaktifan bersama L’Oréal Paris dan Maybelline.
“LazMall kini menempatkan kira-kira 60 peratus daripada 100 jenama terkemuka pelanggan Forbes,” katanya.
Jing Yin juga menyifatkan logistik sebagai nadi festival 11.11 berkenaan.
Lebih 30 pusat di serata 17 bandar juga telah bersedia untuk menguruskan jumlah tempahan masa puncak dengan 75 peratus bungkusan diuruskan sendiri oleh Lazada manakala rangkaian lokasi kutipan di sekitar rantau ini akan turut digerakkan bagi memudahkan usaha berkaitan selain tambah nilai e-dompet di lokasi terpilih.
Lazada yang beroperasi di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, juga mempunyai lebih 50 juta pengguna aktif tahunan di rantau ini.
Festival beli-belah itu turut membantu melonjakkan kemajuan e-dagang rantau ini yang kini merupakan sektor terbesar ekonomi internet dan dijangka berkembang sehingga US$300 bilion menjelang 2025.
“Kami berbangga melihat kejayaan Lazada menjadikan 11.11 sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan industri, mengubah cara masyarakat membeli-belah serta pedagang menjalankan perniagaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lazada Pierre Poignant.
Menurutnya, platform Lazada yang juga platform ikonik Kumpulan Alibaba Asia Tenggara, merupakan pemain e-dagang paling pesat dengan pertumbuhan pesanan sebanyak 100 peratus tahun ke tahun bagi tiga suku sebelum ini yang berakhir pada Jun, 2019.
“Ini pula hanyalah permulaan kerana e-dagang itu masih dalam peringkat penembusan sebanyak 3.0 peratus bagi (sektor) runcit Asia Tenggara,” katanya. – MalaysiaGazette
lazada penipu. aku order barang dah hampir tiga bulan tak kirim lagi. dia kata aku kensel. padahal aku tak pernah lakukan demikian. mungkin dia punya sistem untok menipu. dengan alasan duplicate. jahanam lah kau lazada