Home Sukan Nazmi kendali final Piala Malaysia

Nazmi kendali final Piala Malaysia

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), ACP Md Dali Wahid bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 01 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tuan Dali Md Wahid memilih Muhammad Nazmi Nasaruddin, 29, sebagai pengadil aksi final Piala Malaysia 2019 antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam esok.

Jelas Tuan Dali, Muhammad Nazmi yang merupakan anak  kelahiran Pulau Pinang bakal dibantu oleh Muhammad Zairul Khalil Tan yang bertindak sebagai penolong pengadil kedua dan Junaidy Abd Samad merangkap penolong pengadil ketiga.

“Razlan Joffri Ali pula dilantik sebagai penolong pengadil tambahan pertama dan Zulkarnain Zakaria dipilih penolong pengadil tambahan kedua.

“Muhammad Farhan Abd Aziz pula dilantik sebagai pegawai pertandingan keempat sementara Azman Sulong bertindak sebagai penilai pengadil untuk aksi final Piala Malaysia 2019,” katanya pada sidang media menjelang final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Nazmi pernah bertugas semasa perlawanan akhir Piala Malaysia 2015 antara Kedah dan Selangor di Stadium Shah Alam.

Dia menjadi pengadil termuda yang dipilih FAM untuk mengadili perlawanan terbabit yang dihadiri 78,000 penonton bersama dua pengadil berpengalaman pada usia 25 tahun.

Pengadil utama FIFA itu juga pernah mengadili perlawanan akhir antara Thailand dan Australia di Kejohanan Asian Football Federation 2016 bawah 19 tahun di Hanoi, Vietnam yang berlangsung selama dua minggu.

Dalam perkembangan sama, Tuan Dali optimis kesemua pegawai pertandingan yang terpilih mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dengan baik bagi memastikan perjalanan final Piala Malaysia 2019 berjalan dengan lancar.

“FAM sentiasa menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap semua pegawai pertandingan yang terpilih untuk memastikan final Piala Malaysia 2019 berada dalam tahap terbaik.

“Membuat penampilan di pentas final seperti Piala Malaysia bukan sahaja pencapaian tertinggi tetapi ia juga menjadi salah satu proses pembangunan positif buat pengadil tempatan kita.

“Ada pengadil kita telah menerima jemputan daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang pengadil dan seorang penolong pengadil bagi mengendalikan dua perlawanan antarabangsa membabitkan pasukan kebangsaan negara itu, November ini.

“Dengan pelantikan bagi perlawanan-perlawanan antarabangsa, ia menunjukkan bahawa pegawai perlawanan atau pengadil dari Malaysia memiliki tahap atau kualiti bertaraf antarabangsa dan terus mendapat kepercayaan untuk mengendalikan perlawanan di peringkat tertinggi.

“Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah memberikan kepercayaan kepada pengadil tempatan kita dan FAM berharap pegawai-pegawai yang terpilih ini dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan terus konsisten dalam tugasan yang diberikan itu, sekali gus ilmu dan manfaat daripadanya dapat digunakan untuk membantu pembangunan pengadil-pengadil di Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette