Home Nasional PDRM perlu jelaskan senarai terkini organisasi teroris – PKR

PDRM perlu jelaskan senarai terkini organisasi teroris – PKR

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu kerajaan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA supaya selaras dengan prinsip hak asasi manusia sejagat yang diperjuang parti itu selama ini.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil berkata, beberapa perkara berkaitan terorisme dan SOSMA telah dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR malam tadi, dan pendirian parti itu adalah konsisten iaitu menentang sebarang bentuk terorisme.

Bagaimanapun, katanya, pada masa yang sama PKR membantah peruntukan undang-undang drakonian yang membenarkan penahanan tanpa bicara termasuk SOSMA.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, pihaknya juga memohon Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjelaskan senarai terkini organisasi atau fahaman yang ditakrif sebagai teroris.

“Agar orang ramai tahu, sedar serta mengelak dari terlibat dalam sebarang bentuk dengan organisasi-organisasi atau fahaman-fahaman tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Baru-baru dua pemimpin DAP ditahan di bawah SOSMA kerana dipercaya terlibat dalam aktiviti memberikan sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). – MalaysiaGazette