Home Sukan Sukan SEA: Kim Swee pilih Luqman Hakim

Sukan SEA: Kim Swee pilih Luqman Hakim

Luqman Hakim

KUALA LUMPUR – Bintang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin menjadi seorang daripada 28 pemain yang dipilih Ong Kim Swee untuk mengikuti sesi latihan pusat skuad Bawah 22 (B-22) kebangsaan bermula Isnin ini sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA ke-30 di Filipina, bulan depan.

FAM dalam satu kenyataan berkata, pengendali skuad B-22 kebangsaan itu turut menyenaraikan empat pemain B-18 negara iaitu Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan, Muhamad Mukhairi Ajmal Mahadi dan Muhammad Azam Azmi Murad pada sesi latihan kali ini.

Kim Swee turut menyenaraikan lima muka baru iaitu Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin dari Kedah, Muhammad Haziq Mohd Subri dan Muhammad Khairul Amizan Suhaimi dari Perak, serta pemain berdarah campuran Malaysia-Australia, Quentin Cheng yang beraksi bersama skuad B-21 kelab Australia, Central Coast Mariners.

FAM memberitahu 23 pemain itu akan melaporkan diri kepada Kim Swee pada 4 November ini.

Manakala Luqman dan empat pemain berkenaan dijangka melaporkan diri 13 November ini setelah membantu skuad B-18 negara mengharungi Kelayakan Kejuaraan B-19 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2020 di Phnom Penh, Kemboja di bawah kendalian Brad Maloney.

Kim Swee dijangka memanggil beberapa lagi pemain tambahan dari skuad Harimau Malaya, termasuk dua pemain lebih umur 22 tahun selepas dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand dan Indonesia, masing-masing pada 14 dan 19 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pemain tambahan berkenaan, jelas FAM akan melaporkan diri kepada Kim Swee pada 20 Nov ini.

FAM menjelaskan senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA 2019 akan berlepas ke Manila pada 23 Nov ini bagi menghadapi saingan Kumpulan A yang dibarisi tuan rumah, Myanmar, Kemboja dan Timor-Leste bermula 25 Nov 2019 di Stadium Memorial Rizal, Man

Juara bertahan Thailand pula mengetuai cabaran Kumpulan B bersama lima pasukan lain, iaitu Indonesia, Vietnam, Laos, Singapura dan Brunei di Stadium Binan.

Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan teratas dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir yang dijadual pada 7 Disember ini.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah tewas 0-1 kepada Thailand pada aksi final di Stadium Shah Alam.

Senarai 28 pelatih:

Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni, Muhammad Danial Haqim Draman, Nik Akif Syahiran Nik Mat, Nik Azli Nik Alias (kesemuanya pemain Kelantan); Ariff Ar-Rasyid Ariffin, A Shivan Pillay, Damien Lim Chien Kai, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC); R Dinesh, Mohamad Faisal Abdul Halim, M Kogileswaran Raj (Pahang), Luqman Hakim Shamsudin, Harith Haiqal Adam Afkar, Muhamad Umar Hakeem Suhar Rezwan (Akademi Mokhtar Dahari B-17).

Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam dan Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin (Kedah), Muhammad Haziq Mohd Subri dan Muhammad Khairul Amizan Suhaimi (Perak), Muhammad Azri Ab Ghani (Felda United), Muhammad Haziq Nadzli (JDT), Mohamad Hariz Kamarudin (JDT II), K Thivandaran (Petaling Jaya City FC), Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi (PKNP FC), Evan Wensley Wenceslaus (Sabah), Muhammad Amirul Ashraf Ariffin (Selangor), Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Quentin Cheng (B-21 Central Coast Mariners), Muhammad Hadi Fayyadh Abdul Razak (Fagiano Okayama). – MalaysiaGazette