KUALA LUMPUR – Seperti dijangkakan, tindakan pelakon Nabila Huda berkongsi foto ‘selfie’ bersama seekor anjing di Instagramnya kelmarin menjadi kontroversi di media sosial.
Tindakan Nabila Huda turut mendapat teguran daripada Pencetus Ummah (PU) Syed atau nama sebenarnya Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang berkata, perbuatan tersebut sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan selebriti tempatan sehingga boleh mendatangkan fitnah pada agama.
PU Syed turut berkongsi mengenai hukum menyentuh anjing berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A.
“Saya dah samak (sebenarnya adalah sertu). Itu kata-kata Nabila Huda bila dia memuat naik gambarnya bersama seekor anjing. Fenomena membuat sesuatu yang haram dengan sedar dalam kalangan artis yang semakin menjadi-jadi dan dianggap biasa.
“Dari adegan bersentuhan, berpelukan sehingga perkara-perkara dosa lain yang sering mereka ulang dan tanpa rasa bersalah dipertontonkan kepada peminat mereka.
“Fenomena menormalisasikan dosa ini sangat bahaya dan ianya boleh mendatangkan fitnah pada agama,” kata PU Syed di Facebook semalam.
Beliau turut menegur babak-babak bersentuhan dan berpelukan dalam drama yang dilakukan berulang kali tanpa rasa bersalah dan menjadi tontonan peminat.
Nabila atau lebih mesra dengan panggil Abil memuat naik swafoto dengan anjing tersebut ketika dia sedang bercuti di New Zealand bersama keluarganya baru-baru ini.
Dalam pada itu, PU Syed juga berkongsi hukum menyentuh anjing berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah R.A dan mazhab Syae yang mengatakan setiap inci haiwan tersebut dikira sebagai najis.
Menurut PU Syed, anak kepada penyanyi Amy Search itu tidak sepatutnya memuat naik foto seperti itu yang boleh membawa fitnah terhadap diri sendiri dan menjadi ikutan peminatnya.
Nabila dan keluarganya baru sahaja pulang daripada percutian di New Zealand selama dua minggu.
“Biar tahu jangan keliru. Hukum menyentuh anjing. Anjing adalah termasuk sebagai najis mughalazah iaitu najis berat.
“Sama ada yang digunakan untuk berburu atau tidak, yang kecil atau yang besar. Merujuk kepada mazhab Syae, setiap inci bagi seekor anjing itu adalah dikira sebagai najis.
“Kalau pun artis ini bermazhab lain selain mazhab di Malaysia, tak payah up gambar sebegitu rupa yang membiarkan fitnah buat diri sendiri dan menjadi ikutan kepada peminat-peminat dia,” katanya. – MalaysiaGazette
Org spt Nabila Huda lah yg merusakkn nama golongan artis. Dia tidak tahu batas2 dlm agama, apa yg dia tahu ‘buat apa saja yg nak di buat’. Itu hak peribadi, tanpa memikirkn “halal haram”, baik tak baik. Fikirlah dahulu sebelum melakukan, biar nampak cerdik sedikit walaupun sebenarnya bodoh!