Home Sukan Tebus kecewa dua tahun lalu – Baddrol

Tebus kecewa dua tahun lalu – Baddrol

Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar (kiri) bersama Ketua Pasukan JDT Haris Harun (kanan) memegang Piala Malaysia 2019 pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Kapten Kedah, Baddrol Bakhtir berharap rakan-rakannya mempamerkan semangat juang tinggi untuk mencapai kemenangan pada final Piala Malaysia edisi tahun ini, seterusnya menebus kekecewaan yang dialami pasukan itu pada aksi sama dua tahun lalu.

Kedah akan berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil, esok, lawan sama yang mengecewakan mereka pada final Piala Malaysia 2017 di Stadium Shah Alam dengan kekalahan 0-2.

Baddrol berkata, peluang beraksi di pentas akhir bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai.

Katanya, setiap pemain skuad Lang Merah yang akan diturunkan nanti dapat memanfaatkan peluang kali ini dan menjulang piala berprestij tanah air itu.

Ketua Pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar bercakap pada sidang media sempena Perlawanan Akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto NOOREEZA HASHIM, 02 NOVEMBER 2019.

“Beza final kali ini, kami kehilangan Mohd Rizal Khazali yang tidak dapat beraksi kerana digantung permainan.

“Namun saya pasti ketua jurulatih tahu siapa yang layak diturunkan dan kami memiliki motivasi tinggi untuk beraksi.

“Apatah lagi kami mengharungi 10 bulan yang fantastik dan berjaya membentuk pasukan harmoni,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama pasukan Kedah dan sesi latihan terakhir sempena final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.

Baddrol berharap Kedah dapat beraksi tanpa tekanan memandangkan JDT memiliki barisan pemain hebat dan kuat.

Kedah yang sebelum ini menjulang Piala FA edisi tahun ini melangkah ke pentas akhir Piala Malaysia 2019 menerusi kelebihan gol di tempat lawan selepas mencatat keputusan agregat 8-8 menewaskan Pahang pada peringkat separuh akhir. – MalaysiaGazette