Home Sukan Tiket final ada kod bar, ikut pintu betul

Tiket final ada kod bar, ikut pintu betul

Datuk Zairil Ayu Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Operasi Tiket Hotline, Datuk Zairil Ayu Ibrahim mengingatkan kepada peminat bola sepak tempatan yang bakal menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara Kedah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bukit Jalil esok untuk mematuhi segala peraturan mengikut pintu masuk yang betul.

Jelasnya, setiap tiket mempunyai barcode yang akan membezakan kategori tiket dan para penyokong perlu memasuki pintu yang sepatutnya bagi memudahkan mereka mencari tempat duduk.

Paling utama, Zairil berharap semua penyokong dapat memberi kerjasama dan tidak membuat sebarang kekecohan apatah lagi ini merupakan perlawanan yang akan menjadi perhatian membabitkan juara Liga Super dan juara Piala FA.

“Memang di setiap tiket ada tertera kod bar dan kod bar ini akan digunakan masa kita nak masuk stadium melalui pintu-pintu dia.

“Kod bar ni akan membezakan kemasukan kategori tiket, jadi pastikan tengok pintu mana yang tertulis atas tiket dan jangan masuk salah pintu.

Sementara itu, penjualan tiket secara dalam talian kategori Premium Grandstand berharga RM150 telah habis dijual dalam masa dua jam sahaja setelah talian dibuka bermula pukul 3 petang kelmarin.

Bermula semalam, jualan tiket secara fizikal telah pun mula dijual di Stadium Darul Aman untuk penyokong Kedah manakala penyokong JDT pula di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin bermula pukul 10 pagi.

Manakala tiket GA 50 yang berharga RM50 dan GA kanak-kanak(RM5) (setakat pukul 4.30 petang semalam) masih lagi boleh dibeli melalui dalam talian Shopee. – MalaysiaGazette