Home PRK Tanjung Piai Pusat penamaan dibuka, bahang di Tanjung Piai semakin membara

Pusat penamaan dibuka, bahang di Tanjung Piai semakin membara

Calon Pakatan Harapan P.165 Tanjung Piai, Karmaine Sardini (tengah) diiringi Timbalan Presiden Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tiga kanan) berarak memasuki dewan pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dibuka jam 9 pagi tadi.

Pegawai Pengurus SPR, Zulkifly Mohd Tahir mengumumkan Pusat Penamaan Calon bagi PRK Parlimen Tanjung Piai dibuka sehingga pukul 10 pagi.

Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian di sini, menjadi lokasi pusat penamaan calon bagi PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 (PRU-14).

Setakat pagi ini, empat calon sudah mengesahkan bertanding dalam PRK yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Empat parti yang bertanding iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Gerakan dan Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa) manakala seorang lagi merupakan calon bebas.

Dijangkakan pertandingan lima penjuru melibatkan Calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Karmaine Sardini; calon BN, Datuk Dr.Wee Jack Seng, calon Parti Gerakan, Wendie Subramaniam; calon bebas Datuk Shamsubahrin Ismail dan calon parti Berjasa, Datuk Ir. Dr Badhrulhisham Abdul Aziz.

Seramai 52,986 pengundi Tanjung Piai akan memilih pada 16 November ini untuk menentukan pemimpin baharu mereka selepas penyandangnya dari Bersatu iaitu Datuk Md Farid Md Rafik meninggal dunia akibat serangan jantung pada 21 September lalu. – MalaysiaGazette