Home PRK Tanjung Piai Saya anak tempatan, itu kelebihan saya – Karmaine

Saya anak tempatan, itu kelebihan saya – Karmaine

Calon Pakatan Harapan P.165 Tanjung Piai, Karmaine Sardini pada hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Dewan Jubli Intan,Pontian,Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 02 NOVEMBER 2019

PONTIAN- “Saya anak tempatan dan saya rasa itu satu-satunya kelebihan saya untuk menambat hati dan sokongan pengundi.”

Itu kelebihan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Datuk Karmaine Sardini berbanding lima lagi calon lain yang bertanding.

Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tanjung Piai itu juga tidak ada masalah menghadapi lawannya dan yakin PH akan mempertahankan kerusi parlimen berkenaan.

“Saya calon tempatan, itu kelebihan saya dan saya tiada masalah untuk hadapi lawan saya yang lain,” katanya ketika ditemui selepas penamaan calon di sini hari ini.

Beliau turut ditemani oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Proses penamaan calon dimulakan tepat 9 pagi menyaksikan enam calon termasuk Karmaine menyerahkan borang pencalonan masing masing sebelum ditutup sejam kemudian.

Karmaine juga menambah dia bertanggungjawab untuk menyahut cabaran dan mendekati rakyat selain mendengar permasalahan mereka.

“Saya berharap dengan jentera, pasukan PH serta sokongan pengundi supaya mendapat undi banyak dam kekalkan kerusi berkenaan jadi milik PH selepas kosong ekoran kematian Allahyarham Dr. Md. Farid Md. Farik akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu,” ujarnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai kali ini menyaksikan BN meletakkan bekas penyandangnya, Dr.Wee Jack Seng dari MCA yang pernah berkhidmat selama dua penggal dari tahun 2008 hingga tahun 2018.

Gerakan pula mencabar BN dan PH dengan menurunkan calon wanita, Wendy Subramaniam.- MalaysiaGazette