KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein tidak kisah dirinya disiasat ekoran beberapa dakwaan rasuah.
Hishammuddin yang juga bekas Naib Presiden UMNO berkata, beliau bersedia disiasat sekiranya pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mahu menyiasat isu pertukaran tanah serta dakwaan salah guna kuasa dalam pembelian enam buah helikopter McDonnell Douglas berharga RM300 juta.
“Ini cerita lama yang dibangkitkan semula. Siasatlah saya tidak ada hal.
“Bagi saya yang penting, siasatan mesti dijalankan tetapi kerja pun kena berjalan. Saya tanya kepada Kementerian Pertahanan kalau nak siasat apa yang tidak kena dengan pembelian helikopter atau pertukaran tanah tapi jangan sekat untuk terima aset-aset ini.
“Kalau ada penyelewengan ambil tindakan, saya dari dulu lagi konsisten dengan isu yang dibangkitkan sekarang. Saya tengok banyak isu lama yang dibangkitkan semula. Jadi tidak perlu saya jawab secara jelas,” katanya kepada media, hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas mengenai kenyataan bekas senator Datuk Ezam Mohd Noor yang menggesa SRPM membuat siasatan terhadap beliau dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas tuduhan rasuah dan seks.
Ezam dalam satu kenyataan mempersoalkan mengapa pihak polis dan SPRM tidak bertindak pantas dalam kes membabitkan dua pemimpin politik itu.
Hishammuddin sebelum ini menafikan terlibat dalam sebarang salah laku itu.
Jun lalu, Hishammuddin memberikan keterangan selama tujuh jam berhubung isu urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah-tanah milik kementerian itu.
Untuk rekod, Februari lalu, Kementerian Pertahanan mendedahkan kerajaan rugi lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu yang dipercayai berlaku sejak 1997.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dilaporkan berkata perkara itu terdedah hasil siasatan dibentangkan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang pada 28 Januari lalu.
Semua kerugian dan ketirisan itu dilaporkan membabitkan 16 projek ‘land swap’ yang terdiri daripada 1,183 hektar tanah milik Kementerian Pertahanan dengan nilai RM4.7 bilion dan kos projek RM4.8 bilion. -MalaysiaGazette
Kalau bermula pada 1997 siapa menteri pertahanan pada masa itu Ezam.
Kalau bermula pada 1997 siapa menteri pertahanan pada masa itu .