Home Politik Jika saya menang, itu keajaiban – Wendy

Jika saya menang, itu keajaiban – Wendy

Calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam bercakap kepada media ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pasar Awam Pekan Nenas, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Calon Parti Gerakan, Wendy Subramaniam menyedari beliau dan partinya tidak akan mengubah landskap politik sekiranya diangkat sebagai wakil rakyat di Tanjung Piai.

Bagaimanapun, beliau yakin akan menjadi suara ketiga di Parlimen dan itu merupakan keajaiban yang boleh dijadikan sejarah dalam politik pada hari ini.

“Betul memang PRK ini takkan tukar landskap politik. Tapi ia boleh dijadikan sejarah dan miracle untuk dapatkan suara ketiga dari sini Tanjung Piai. Jika menang suara ketiga adalah di Tanjung Piai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sesi walkabout di Pasar Pagi di sini hari ini.

Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wee Jeck Seng turut mengadakan walkabout bertemu orang ramai di pasar sama.

Dalam pada itu Wendy berkata, beliau akan mengangkat suara kaum hawa di Parlimen sekiranya diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat.

Wendy Subramaniam (tengah) bersalaman dengan orang ramai ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pasar Awam Pekan Nenas, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2019Katanya, sebagai seorang wanita yang memiliki kerjaya dan keluarga beliau tahu kesukaran yang dihadapi oleh kaum itu dan disebabkan itu mereka harus diberikan pembelaan.

“Sebagai seorang wanita, saya juga seorang ibu yang bekerja. Saya tahu bagaimana susah, saya juga bukan senang.

“Kadang-kadang orang lelaki ini tidak faham apa hak wanita itu, jadi saya tahu perspektif itu. Saya juga tidak ada pembantu rumah, semua saya lakukan sendiri.

“Jadi saya tahu bagaimana nak bawa suara wanita,” tambahnya. – MalaysiaGazette