KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sentiasa mengambil peringatan dan meningkatkan pemantauan di kawasan sempadan terutama membabitkan Sabah dengan negara jiran kerana menjadi tumpuan kumpulan pengganas untuk transit.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan keselamatan yang ditugaskan seperti polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) sentiasa melakukan kawalan supaya elemen seperti itu tidak berlaku.
“Kita memang tahu sejak beberapa tahun kebelakangan ini Malaysia adalah antara negara tumpuan transit yang ada kaitan dengan kumpulan pengganas.
“Yang penting, apa yang kita lakukan memastikan supaya elemen sebegini tidak kita biarkan berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmi penutup Hari Keluarga KDN 2019 di MAEPS dekat sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin, kumpulan pengganas yang ditahan adalah mereka yang ada kaitan dengan keagamaan dan polis Malaysia mendapat kerjasama daripada badan lain di negara jiran untuk sama-sama menanganinya.
Dalam hal itu, ujar beliau, pasukan keselamatan terpaksa menggunakan undang-undang yang ada kaitan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) untuk menahan kumpulan terbabit.
Mengenai kes penculikan di Sabah dan Filipina, Muhyiddin berkata, kes itu berlaku sejak sekian lama, ada yang telah dibebaskan dan ada yang masih ditahan.
Beliau mengakui masalah itu agak mencabar kerana kawasan sempadan Sabah dengan Filipina agak luas dan panjang iaitu melebihi 1,000 kilometer jaraknya dengan kawasan kepulauan negara jiran seperti Filipina, selain kedudukannya agak rapat.
“Disebabkan faktor itu, ada yang mengambil kesempatan untuk bersembunyi di pulau dan sebagainya.
“Sebab itu kita sudah tubuhkan pasukan ESSCom, kita kenakan kawasan ESSZone. Maknanya langkah-langkah kawalan itu kita pantau sejak dulu lagi,” katanya.
Beliau turut menyatakan, kerajaan Malaysia juga mengadakan kerjasama dengan kerajaan Filipina, tetapi memandang kes ini berlaku di negara ini, maka undang-undang yang digunakan mengikut negara ini.
“Kita ada tenaga penguatkuasa yang menggabungkan polis, tentera dan PGA. Mereka ini ditempatkan di semua kawasan terbabit.
“Kita juga ada aset seperti helikopter, kapal dan APMM yang turut membantu di kawasan perairan,” katanya. – MalaysiaGazette