Home Politik Kemenangan BN penting untuk suara rakyat – Jeck Seng

Kemenangan BN penting untuk suara rakyat – Jeck Seng

Calon Barisan Nasional, Datuk Dr. Wee Jeck Seng (dua kanan) bersalaman dengan peniaga ketika sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pasar Awam Pekan Nenas, Johor. foto SYAFIQ AMBAK, 03 NOVEMBER 2019

PEKAN NANAS – Para pengundi yang dianggarkan sekitar 52,986 orang diseru supaya mengenepikan tanggapan bahawa landskap pemerintahan politik semasa tidak akan berubah jika mereka keluar mengundi beramai ramai pada 16 November ini.

Calon Barisan Nasional dari MCA, Datuk Seri Dr. Wee Jeck Seng berkata, tanggapan itu salah dan merupakan strategi kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang tidak betul terhadap pengundi Parlimen Tanjung Piau.

Katanya, walaupun yang menggerakkan kerajaan adalah PH tetapi pembangkang boleh menyediakan platform semak dan imbangl sekali gus memperkuatkan suaranya menerusi kemenangan di kerusi Parlimen tersebut.

“Walaupun PH kerajaan, kemenangan ini penting untuk pembangkang kerana boleh memperkukuhkan suara dan perjuangan rakyat dapat dirujuk kepada kerajaan yang gagal menunaikan janji-janji mereka.

“Memang satu cabaran sebab mereka (PH) pihak kerajaan dan walaupun dakwa tidak berduit tetapi Menteri dan Timbalan Menteri datang menaburkan banyak wang di sini.

“Tetapi janji kepada rakyat tak tertunai.. Tapi yang penting BN mesti bekerja keras dan berperang habis-habisan untuk merampas semula kerusi ini,” katanya selepas walkabout di pasar Pekan Nanas pagi tadi.

Jeck Seng mendakwa ramai pengundi memberi reaksi positif kepada BN, ditambah lagi dengan kelebihannya sebagai anak watan Pekan Nanas.

Bagaimanapun, beliau menaruh harapan agar kerjasama dan sokongan padu pengundi-pengundi ini diterjemahkan dalam bentuk undi besar.

Tambahnya, beliau sudah merancang dan menyusun banyak pelan untuk dilaksanakan demi pembangunan rakyat di Tanjung Piai dan menegaskan budaya dan keperluan masyarakat kawasan itu perlu diambil tahu.

Menurutnya terdapat ratusan keluarga nelayan yang memerlukan bantuan jangka panjang di kawasan tersebut selepas janji manifesto kerajaan kekal sebagai kertas kosong.

“Jika diberi peluang, saya akan memperjuangkan nasib mereka dan bagi pengundi atas pagar, mereka sedar dan arif tentang situasi semasa,” ujarnya sambil menyatakan nasibnya terletak pada tangan pengundi Tanjung Piai.

Tetapi, katanya, walaupun menjadi calon baharu tetapi beliau adalah orang lama di situ, malah penduduk di situ tahu budaya kerja saya dan kemampuan saya,” tegasnya.-MalaysiaGazette