PONTIAN – Calon Gerakan, Wendy Subramaniam yang sibuk mengejar masa siang malam berkempen sejak semalam untuk Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai terkejut dengan insiden sepanduk gergasi yang memaparkan gambarnya rosak dan tumbang di simpang empat Jalan Al-Sagoff, Pontian Kechil hari ini.
Wendy ditemui MalaysiaGazette di lokasi kejadian berkata, beliau dimaklumkan tentang kejadian itu oleh Ketua Pengarah Operasi Gerakan DUN Pekan Nanas, Albert Teo.
“Sekitar 9 pagi ini, Albert Teo yang bersama anggotanya melalui jalan itu dan apabila kembali ke jalan sama sejam kemudian iaitu 10 pagi.
“Mereka terkejut melihat sepanduk gergasi GerakanĀ yang didirikan di tepi jalan bertentangan francais makanan segera tumbang.
“Laporan polis sudah dibuat, selain aduan telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan dan tindakan mengikut undang-undang yang ada.
“Polis mengakui kemungkinan sabotaj atau perbuatan khianat oleh manusia pihak tertentu pada kempen ini sengaja merosakkan sepanduk tertera gambar saya.
“Saya kecewa dan sedih kerana mengharapkan kempen dan PRK yang adil serta bersih tetapi ada unsur jenayah sebegini,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Wendy sempat menyertai walkabout untuk bertemu pengundi di Taman Utama, Pekan Nanas sebelum bergegas ke lokasi untuk melihat sendiri keadaan papan tanda yang rosak itu.
Beliau yang juga seorang peguam berkata, Gerakan mempunyai bajet kewangan terhad untuk berkempen dan mencetak risalah serta poster.
Tambah beliau, sebanyak 12 sepanduk gergasi seumpama itu telah didirikan dengan batang besi setinggi tiga meter masing masing enam di DUN Kukup dan DUN Pekan Nanas sempena PRK.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini hanya satu sahaja menjadi mangsa perlakuan jenayah.
“Saya tidak tahu siapa yang melakukan perbuatan disyaki khianat ini. tapi janganlah ulangi perbuatan ini jika benar wujud unsur jenayah.
“Saya juga tidak tahu kenapa dan motif di sebalik khianat itu dan harap polis siasat dan bertindak mengikut lunas undang-undang yang ada,” katanya sambil memaklumkan laporan polis dibuat pada 4.20 petang oleh Albert.
Katanya, satuĀ dompet tanpa dokumen pengenalan diri telah ditemui dengan wang RM36 dan telah diambil polis sebagai bahan bukti untuk siastan lanjut.
Susulan kejadian itu, Wendy menasihati parti-parti bertanding supaya memastikan setiap anggota dan jentera parti bertanding secara adil dan bersih serta tidak bermain politik kotor.
“Ia tidak akan menggugat semangat saya untuk berkempen..saya tidak akan gentar dengan insiden ini,” tegasnya.- MalaysiaGazette