Home Nasional 1MDB gagal dapatkan maklumat lanjut Petrosaudi

1MDB gagal dapatkan maklumat lanjut Petrosaudi

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi (kanan) hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 01 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Petrosaudi International (PSI) pernah menolak permohonan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang syarikat itu, kata Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB itu berkata, 1MDB telah membuat permohonan beberapa kali namun tidak dilayan PSI.

Tambah beliau, walaupun memiliki 40 peratus kepentingan saham dalam PSI selepas usahama yang dijalinkan namun 1MDB tetap tidak memiliki kawalan penuh ke atas entiti tersebut.

Namun apabila Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengatakan bahawa situasi itu sepatutnya menimbulkan kecurigaan dalam kalangan urus tadbir tertinggi 1MDB seterusnya mempertimbangkan untuk kekal bekerjasama, saksi- kesembilan itu menjawab, hala tuju syarikat tersebut pada masa itu dilihat bermanfaat untuk negara.

“Cadangan untuk bekerjasama dengan PSI lagi berdasarkan kepada apa langkah strategik yang boleh diperolehi negara dan kami mahu meneruskan hubungan baik itu. Jadi kami fikir mesti ada penjelasan yang adil dalam masa yang sama masih cuba mendapatkan nasihat daripada ahli lembaga pengarah,” katanya ketika sesi soal balas oleh peguambela bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Perbicaraan yang masuk hari ke-29 ditangguh sehingga esok selepas kerana hakim bagi perbicaraan kes itu Collin Lawrence Sequerah mempunyai urusan lain.

Untuk rekod, Najib berdepan dengan 21 pertuduhan pengubahan wang kerana memindahkan dana haram ke akaun bank miliknya dan empat lagi pertuduhan bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.-MalaysiaGazette