Home Politik ‘Berjasa bertanding sebab UMNO, Pas tak peduli permintaan kami’

‘Berjasa bertanding sebab UMNO, Pas tak peduli permintaan kami’

Calon Berjasa, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz mendengar penerangan daripada Pengerusi Masjid Kampung Parit Selangor, Haji Ramli Waidi (kiri) mengenai projek tapak wakaf perkuburan Islam semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Masjid Kampung Parit Selangor, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019

PONTIAN – Langkah Barisan Jemaah Islam Se-Malaysia (Berjasa) bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah disebabkan Pas dan UMNO tidak mengenepikan mereka dalam perbincangan berkenaan calon.

Presiden Berjasa, Datuk Dr. Badhrulhisham Abdul Aziz yang juga menjadi calon Berjasa menegaskan, Pas merupakan rakan komponen dalam Gagasan Sejahtera juga tidak pernah mengiktiraf kerusi Parlimen Tanjung Piai milik Berjasa.

“Pas dan UMNO tidak hiraukan (Berjasa), Pas tak panggil kami berbincang bersama UMNO, kalau kita lihat daripada formulanya, kalau tempat ini tradisi MCA, UMNO nak letak calon ganti MCA, dan rakan dia Pas pernah bertanding, patut dibincangkan terlebih dahulu, Pas juga tak mengaku kerusi ini milik Berjasa.

“Kita dah minta Pas berbincang tapi benda itu tak berlaku. Tak adil mereka kata tak restu. Sikap macam ini kena ubah, kalau kita ego macam itu dengan parti lain kita tak akan ke mana,” katanya pada ketika ditemui semasa berkempen di Masjid Kampung Parit Selangor, Pekan Nanas hari ini.

Calon Berjasa, Datuk Ir Dr Badhrulhisham Abdul Aziz bercakap pada sidang media semasa sesi walkabout sempena kempen Pilihan Raya Kecil P.165 Tanjung Piai di Masjid Kampung Parit Selangor, Pekan Nenas, Johor. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019.

Beliau berkata, isu Berjasa membelakangkan Gagasan Sejahtera dengan meletakkan calon menentang calon Barisan Nasional (BN) dari MCA di PRK Tanjung Piai juga adalah isu remeh dan tidak patut dipanjangkan.

“Isu melibatkan Pas itu bagi saya benda itu agak remeh dan kita fikir ageda yang lebih besar,” ujarnya.

Gagasan Sejahtera merupakan gabungan politik yang dianggotai PAS, Berjasa, Ikatan, dan Parti Cinta Malaysia (PCM) sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 bagi menyaingi BN dan Pakatan Harapan (PH).

Berjasa menyertai Gagasan Sejahtera pada tahun 2017.

Dalam pada itu, Badhrulhisham berkata, Pas dan UMNO perlu lebih terbuka dengan mengutamakan parti Melayu untuk bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Keputusan Berjasa meletakkan calon tidak disenangi pimpinan Pas kerana parti Islam itu sepakat menghormati Piagam Muafakat Nasional dengan menyokong calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng bertanding.

Sabtu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hasan ketika ditemui pemberita selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai mengaskan supaya ahli Pas tidak mengundi calon Berjasa meskipun calon dari itu parti merupakan anggota Gagasan Sejahtera.

Mereka sebaliknya digesa supaya mengundi calon BN agar kerusi Parlimen kawasan itu dapat dipulangkan kepada pembangkang di Johor.

“Saya beritahu, kita tak restu walaupun mereka dari Gagasan Sejahtera. Kita dah nasihat jangan letak calon tapi terpulang kepada mereka.

“Apa pun, kita tetap tidak akan undi Berjasa, walaupun hanya satu undi. Dulu mereka berdiri di bawah bendera Pas tapi kini atas diri sendiri. Kita tengok berapa undi mereka dapat,” kata Takiyuddin.

Pada PRU-14, Berjasa meletakkan Nordin Ahmad bertanding di Tanjung Piai menggunakan tiket Pas dan memperoleh hampir 3,000 undi.

Dalam sidang medianya hari ini, Badhrulhisham menegaskan, Berjasa juga tidak akan menjadi punca perpecahan Gagasan Sejahtera dengan tindakan yang bertanding pada PRK berkenaan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pas tak restu Berjasa bertanding PRK Tanjung Piai