PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan menetapkan 11 November ini sebagai tarikh keputusan berhubung permohonan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular bertentangan dengan Perlembagaan.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Azahar Mohamed membuat keputusan berkenaan setelah mendengar hujah hampir dua jam daripada kedua-dua belah pihak berhubung Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.
Hakim Azahar telah mengeluarkan arahan bahawa beliau memerlukan masa untuk membaca hujah-hujah kedua belah pihak, khususnya Mohd Khairul Azam sebagai pemohon dalam cabaran keabsahan sekolah vernakular itu.
Mohd Khairul Azam diwakili lima peguam yang diketuai oleh Datuk Shaharudin Ali manakala Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pula diwakili oleh peguam Kerajaan Persekutuan, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.
Menurut peguam Shaharudin, pihaknya sudah menjangkakan dari awal hujah pada sesi pendengaran kes itu lebih tertumpu kepada soal teknikal undang-undang dan bukannya isu perkauman di sebalik sekolah vernakular.
“Kita sudah jangka dari awal bahawa hujah-hujah pada pagi ini akan tertumpu kepada isu-isu teknikal undang-undang, bukan isu berkaitan sama ada dengan sekolah Cina atau Tamil itu perlu diteruskan atau ada kebaikan politiknya…tidak.
“Ia hanya tertumpu kepada isu teknikal iaitu sama ada permohonan kami ini selaras dengan kehendak Fasal 4 (4) Perlembagaan Persekutuan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita di lobi Istana Kehakiman Putrajaya, di sini, hari ini.
Pada 23 Oktober lalu, Mohd Khairul Azam mengemukakan permohonan notis usul mencabar keabsahan sekolah vernakular sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kepada Mahkamah Persekutuan Putrajaya.
Mohd Khairul Azam selaku Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memfailkan notis usul itu mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan melibatkan isu keperlembagaan Akta Pendidikan 1996 untuk diadili oleh seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Mohd Khairul Azam yang ditemui selepas pendengaran kes itu berharap keputusan hakim Azahar pada 11 November ini akan membuka pintu kepada pihaknya ke peringkat perbicaraan selanjutnya.
“Saya berharap menjelang 11 November ini, kita ingin keadilan, bagi menjawab segala persoalan sejak merdeka berkaitan dengan kedudukan sekolah vernakular ini.
“Saya harap kita dapat sama-sama berdoa agar Hakim Mahkamah Persekutuan dapat membuka pintunya untuk kita masuk.
“Sekiranya mahkamah membuat keputusan sebaliknya, jangan bimbang ini bukannya berakhir cabaran saya terhadap sekolah vernakular.
“Sebenarnya ada 5 lagi pelan B yang akan saya lancarkan sekiranya permohonan saya ini ditolak,” katanya.
Beliau turut mengulangi pendiriannya bahawa notis usul itu tidak berniat untuk memainkan isu perkauman, jauh sekali memusuhi bukan Melayu di negara ini.
“Kita tidak mahu isu ini jadi isu perkauman. Kita nak isu ini menjadi isu undang-undang semata-mata, ini bukan isu Melayu lawan Cina atau India…tidak. Tidak elok dilihat begitu.
“Kita nak melihat isu ini dari segi undang-undang sama ada sekolah-sekolah vernakular ini wujud secara sah atau tidak di sisi Perlembagaan tertinggi negara.
“Ini bukanlah untuk memusuhi mana-mana bahasa atau kaum,” katanya lagi. – MalaysiaGazette