Home Utama Nelayan Tanjung Piai kecewa wang saguhati tidak diterima sejak zaman PH

Nelayan Tanjung Piai kecewa wang saguhati tidak diterima sejak zaman PH

Nelayan, Zamdilaila Md Amin, 48 bercakap kepada media ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pangkalan Tanjung Piai, Johor. foto AFFAN FAUZI, 04 NOVEMBER 2019

KUKUP – Kira-kira 800 nelayan di kawasan Tanjung Piai di sini melahirkan rasa kecewa apabila wang saguhati yang pernah dinikmati oleh mereka sejak 2016, sumbangan kerajaan negeri masih belum diterima sehingga kini.

Walaupun telah dijanjikan beberapa kali dan mereka sepatutnya menerima wang tersebut pada awal Ramadan tahun lalu, namun ia hanya sekadar janji dan mereka terus menanti dengan penuh harapan.

Tinjauan MalaysiaGazette di Jeti Pangkalan Nelayan Tanjung Piai di sini mendapati, rata-rata nelayan di situ tidak berpuas hati dengan perkara tersebut hingga ada yang merasakan diri mereka teraniaya.

Malah, kebanyakan mereka sangat memerlukan wang saguhati itu ekoran pendapatan mereka yang kini terjejas ditambah pula pelbagai insentif untuk nelayan telah dipotong oleh kerajaan.

Seorang nelayan, Zamdilaila Md Amin, 48, berkata, wang saguhati itu merupakan pemberian kerajaan negeri Johor di bawah Barisan Nasional ketika Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memegang jawatan Menteri Besar.

Ketika itu katanya, wang tersebut diberikan dengan jumlah sebanyak RM2,000 dan kemudiaan dikhabar akan dinaikkan kepada RM3,000.

Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan negeri kepada Pakatan Harapan wang saguhati tidak dinaikkan malah, jumlahnya diturunkan pula kepada RM1,000.

“Walaupun dah dipotong kepada jumlah itu tapi sampai sekarang wang tersebut tak juga kami terima.

“Kami kesal dengan perkara ini dan persoalannya mengapa ia boleh terjadi,” katanya.

Baharudin Mohd Said

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Baharudin Mohd Amin berkata, aduan mengenai perkara itu telah dibuat kepada pihak Persatuan Nelayan Johor Selatan menerusi ahli lembaga pengarahnya.

Namun dia mendakwa, sehingga kini perkara itu senyap tanpa ada sebarang berita dan nelayan-nelayan yang sepatutnya menerima kini hanya menangguk di air yang keruh.

“Apa yang mereka gunakan dengan duit yang sepatutnya kami dapat tak tahulah.

“Kami memang harap sangat akan dapat duit itu untuk menyara kehidupan. Sudahlah pendapatan kami terjejas kerana hasil laut yang berkurangan, duit saguhati yang sepatutnya milik kami tak dapat pula,” ujarnya.

Justeru, mereka berharap agar kerajaan negeri dapat memberi perhatian terhadap perkara tersebut agar mereka dapat meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan hidup para nelayan di kawasan itu yang semakin tersepit. – MalaysiaGazette