KUALA LUMPUR – Pelakon dan pengacara, Sarah Hildebrand, 29, selamat mendirikan rumahtangga bersama rakan lamanya semalam.
Sarah sah menjadi isteri pelukis kacukan Filipina-Amerika Otto Gillen, 26, di Masjid As-Sobirin, Lembah Keramat di sini.
Kedua-dua mereka selamat dinikahkan Pendaftar Bahagian Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk, Jabatan Agama Islam Selangor, Hilmi Saadan bersaksikan bapa saudara pihak perempuan, Mohd Nasir dan Haizairi Hashim.
Pada majlis berkenaan, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin RM300 dan sebentuk cincin.
Menurut pelakon yang mula dikenali dalam drama Pujaan Hati Kanda itu, dia bersyukur kerana majlis pernikahannya dengan Otto berjalan lancar.
“Alhamdulillah, majlis ini berjalan dengan lancar seperti direncanakan.
“Saya percaya Otto lelaki yang terbaik untuk dijadikan suami dan mampu membahagiakan saya hingga ke akhir hayat.
“Kami juga saling memahami kerana sama-sama berdarah kacukan,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Tambah Sarah, mereka berdua sepakat untuk mendirikan rumahtangga selepas berkawan rapat selama lapan bulan.
“Sebenarnya, saya dan Otto merupakan kawan lama yang terpisah ketika sama-sama menuntut di sekolah tinggi di Amerika dulu.
“Saya bertemu semula dengannya ketika melawat bapa saya yang kurang sihat di Arkansas, Amerika Syarikat awal tahun ini.
Sarah memaklumkan bahawa majlis pernikahan itu dihadiri kira-kira 100 tetamu termasuk keluarga dan kenalan rapat.
Sempena hari perkahwinannya itu, Sarah menggayakan persalinan hasil rekaan ibunya, Che Arbi Hashim.
Bagaimanapun, tarikh majlis resepsi mereka masih belum diputuskan lagi.
Terdahulu, Sarah pernah menjalin hubungan dengan pengacara HLive!, Nabil Mahir namun hubungan tersebut berakhir awal tahun ini selepas lima tahun bercinta. – MalaysiaGazette