KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang yakin bahawa pihaknya dapat menahan ahli perniagaan paling dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini cuma andaian beliau.
“Itu andaian (Ketua Polis Negara) tapi harapan (tangkap Jho Low) macam itulah,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.
Muhyiddin berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Abdul Hamid pada September lalu yang berharap dapat membawa pulang Jho Low selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Abdul Hamid hari ini mendedahkan bahawa terdapat pelbagai alasan tidak masuk akal diberikan oleh pihak berkuasa negara yang dipercayai menjadi lokasi persembunyian Jho Low termasuk mendakwa ahli perniagaan dalam buruan itu sudah membuat pembedahan wajah menyerupai beruang.
“Dia sudah mengubah rupa bentuk mukanya tetapi dia terus berada di negara itu dan mendakwa kononnya dia susah nak dikesan,” katanya memetik laporan Harian Metro Online.