KUKUP – Selain Pakatan Harapan (PH), UMNO yang mengetuai blok pembangkang negara mahukan calon PH Karmaine Sardini menang dalam Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai 16 November ini.
Setiausaha Organisasi Parti Amanah Negara, Suhaizan Kayat mendakwa, UMNO kecewa dengan keputusan pimpinan parti itu menyerahkan Tanjung Piai untuk ditandingi calon MCA, Datuk Seri Wee Jack Seng.
“Sebenarnya saya nak beritahu rahsia besar malam ini bahawa bukan sahaja kita Pakatan Harapan mahu Haji Karmaine menang, tetapi UMNO Tanjung Piai juga mahu calon kita menang.
“Mereka mahu UMNO BN kalah sebab dia tak dapat kerusi yang dituntut untuk meletakkan calon Melayu menentang PH sejak tahun lalu.
“MCA gertak dan ugut UMNO BN jika tak diberikan kerusi itu buat apa duduk dalam BN dan adalah lebih baik keluar, maka UMNO tunduk kepada MCA dan menyerahkan kerusi itu.. kalaulah UMNO bertanding sah kalah juga,” katanya dalam ucapan di ceramah Kelompok PDM Penerok di DUN Kukup, Tanjung Piai malam ini.
Ceramah sempena kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan calon Karmaine.
Suhaizan mendakwa, Pas juga tidak mahu calon BN menang, justeru beliau yakin kerusi Parlimen Tanjung Piai akan kekal dalam genggaman PH dan Karmaine adalah wakil rakyatnya.
Katanya, PRK berkenaan adalah hanya mengisi kekosongan kerusi yang ditinggalkan Allahyarham Md Farid Md Farik bukannya untuk tukar kerajaan.
“Kalaulah nak tukar kerajaan hanyalah pada pilihan raya umum.
“Fikirkanlah banyak perkara boleh diberikan kerajaan dan segala urusan dipermudahkan. Kalau Jack Seng menang mungkin dia boleh bagi (bantuan pembangunan), tetapi tidak sehebat kalau PH menang kawasan ini nanti,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette